PETALING JAYA: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) diyakini tidak memberi impak besar kepada kebergantungan pelanggan terhadap perunding kewangan yang menjalankan perniagaan dalam industri insurans dan takaful.
Perunding Kewangan di Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB), Lily Suriani Md Saad berkata, perancangan kewangan masih memerlukan khidmat nasihat manusia yang berpengalaman dalam memberi saranan bersesuaian kepada pelanggan.
Walaupun AI dijangka menggantikan 80 peratus pekerjaan manusia, katanya, pelanggan sebenarnya lebih mudah berurusan dengan manusia berbanding penggunaan robot dan sistem teknologi.
“Saya tak nafikan penggunaan AI dapat menambah baik perkhidmatan yang diberikan manusia daripada aspek pengurusan data yang lebih teratur dan efisien.
“Saya percaya khidmat nasihat daripada manusia sebagai penasihat kewangan masih relevan. Sejak beberapa tahun lalu, sudah ada pemasaran takaful secara online yang diperkenalkan, namun penembusan pasaran melalui saluran tersebut masih rendah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau yang berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang takaful tidak menafikan 2024 sebagai tahun yang agak mencabar buat perunding kewangan atau ejen takaful.
Katanya, pelanggan juga lebih berkira-kira dan berhati-hati dalam membuat sebarang pembelian produk takaful atau menambah komitmen bulanan baharu.
“Cuma kita perlu ingat, takaful bukan ‘hutang’, tetapi ia adalah aset kepada pencarum. Aset segera yang amat cair ketika berlakunya sebarang kemungkinan atau musibah seperti kematian, penyakit kritikal atau lumpuh.
“Pampasan ini boleh digunakan sebagai dana kecemasan untuk kelangsungan hidup sekiranya pencarum lumpuh serta bagi kegunaan waris sekiranya pencarum meninggal dunia,” jelasnya.
Secara khususnya, katanya, orang ramai perlu mempunyai perancangan dalam menghadapi situasi sukar yang kian mencabar.
Antara yang boleh dilakukan adalah menstruktur semula kewangan semasa dengan memberi keutamaan kepada aspek perlindungan bagi melindungi simpanan dan pelaburan.
Ini kerana, jelasnya, sebagai pencari nafkah dalam sesebuah institusi keluarga, individu terdedah dengan risiko penyakit, kematian dan lumpuh. Jika berlaku musibah berkenaan, sudah tentu pendapatan akan terjejas.
“Jika kita disahkan lumpuh, bagaimana kita dapat meneruskan hidup tanpa pendapatan?
“Disebabkan itu, konsep melindungi pendapatan dalam perancangan kewangan perlu diberi keutamaan berbanding kad perubatan kerana kita masih ada pilihan ke hospital kerajaan,” jelasnya.-UTUSAN










