Ahli ekonomi jangka OPR kekal keseluruhan 2024

Ahli ekonomi jangka OPR kekal keseluruhan 2024

BANK NEGARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penstabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.00 peratus sepanjang 2024, kata MIDF Research.

Menurut nota kajiannya, fokus penetapan dasar monetari bank pusat adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Katanya, walaupun dalam mod pemulihan, persekitaran luaran akan kekal mencabar pada 2024 di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan potensi pertumbuhan global yang lebih perlahan.

“Tinjauan ekonomi domestik diramal kekal berwaspada dan berdaya tahan disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil.

“Keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan lagi dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam hutang isi rumah.

Sementara itu, AmBank Economic Research berkata, pihaknya mengulangi pandangan bahawa OPR kekal tidak berubah pada 3.00 peratus sehingga akhir tahun ini.

Katanya, ini bersandarkan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus dan unjuran purata inflasi pada 3.0 peratus.

“Sebarang perubahan kepada inflasi dan unjuran kadar faedah kami bergantung pada respon yang tidak dijangka berkaitan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, OCBC Bank memberitahu, prospek inflasi masih belum dapat dipastikan, walaupun ia dijangka kekal sederhana dan secara amnya mencerminkan keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Kami optimistik secara berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan menjangkakan inflasi dapat diurus, dan kami menjangka kenaikan OPR oleh BNM akan ditangguhkan pada 2024,” ujarnya.

Rabu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat pertamanya pada tahun ini.

Bank pusat berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan.

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada Mei tahun lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×