PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) bagi kolaborasi berkaitan aktiviti pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar.
Kolaborasi dimeterai dalam satu majlis antara kedua-dua pihak di The Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menandatangani MoU tersebut bagi pihak UMS. Manakala RHB Islamic diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Adissadikin Ali.
Majlis disaksikan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia UMS, Sirahim Abdullah dan Ketua Strategi dan Inovasi RHB Islamic Bank, Roshan Jaffar.
Menurut IPMB, menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan mengadakan kerjasama dalam program dan aktiviti berkaitan promosi kesedaran dan pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar melalui dua projek utama iaitu Projek Nutri-Sea dan Ocean Harmony.
Jelasnya, projek Nutri-Sea adalah inisiatif IPMB UMS dalam penyelidikan akuakultur, keterjaminan makanan laut dan kelestarian alam sekitar, manakala Ocean Harmony merupakan sebahagian daripada agenda “Pengantaraan Berasaskan Nilai” (Value-based Intermediation) oleh RHB Islamic di bawah ekosistem dinamakan RHB Harmoni.
“MoU ini tidak terhad kepada dua program utama tersebut, malah UMS dan RHB Bank juga berbesar hati untuk meneroka peluang dan berkolaborasi kerjasama seterusnya yang mendukung usaha-usaha ke arah matlamat pembangunan lestari,” katanya dalam kenyataan.
Sementra itu, Rosalam pada majlis tersebut berkata, UMS selaku antara universiti terbaik di Borneo komited untuk terus menawarkan informasi, penyelidik yang berkepakaran tinggi, kemudahan fasiliti yang lengkap dan pelajar-pelajar yang berdedikasi.
“Dengan usaha sama penyelidik UMS dan pakar dari RHB, kami menjangkakan hasil yang dapat memacu kemajuan teknologi, pengembangan ekonomi dan penyelesaian yang mampan kepada cabaran yang dihadapi oleh masyarakat hari ini terutamanya di Sabah,” jelas beliau.
Adissadikin dalam ucapannya turut menyokong usaha UMS tersebut, sambil menyangkal tanggapan bahawa pihak bank adalah institusi yang bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.
Jelasnya, RHB Islamic amat peka terhadap perkembangan dari segi kelestarian dan telah mengadaptasikan Sustainable Financing Framework (Rangka Kerja Perbankan Mampan) dalam operasinya.
“Justeru, sebagai institusi perbankan yang bertanggungjawab kami juga memberikan keutamaan dalam mewujudkan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar semasa menjalankan perniagaan perbankan,” katanya. – UTUSAN










