PETALING JAYA: Tempahan Proton S70 melonjak tiga kali ganda selepas pelancaran pada 20 November lalu, mencecah 900 seminggu.
Menurut Proton, jumlah tempahan untuk S70 telah melebihi 3,000 unit, menandakan kecenderungan yang sejajar dengan keperluan dan pilihan rakyat Malaysia.
Sementara itu katanya, Proton X Series iaitu X50, X70 dan X90 telah menawan hati pembeli kereta Malaysia dengan mencapai jualan luar biasa sebanyak 201,710 unit.
Jelasnya, X Series yang terkenal dengan inovasi, prestasi dan gaya, telah menjadi simbol komitmen Proton untuk menyampaikan kenderaan yang sesuai dengan pilihan pengguna yang pelbagai.
“Proton X50, pendahulu dalam kategori SUV segmen B, kekal sebagai kegemaran pelanggan, menyumbang dengan ketara kepada kejayaan bulan November dengan 2,115 unit terjual.
“Sejak dilancarkan, sebanyak 102,325 unit telah terjual. Proton X70, pesaing teguh dalam segmen SUV C, merekodkan 95,100 unit terjual sejak dilancarkan, mengekalkan kedudukan pasarannya yang kukuh.
“Proton X90, yang diperkenalkan kurang dari setahun lalu, terus menerajui segmen SUV D, meraih 4,285 unit dalam jualan yang seterusnya menyumbang kepada kejayaan keseluruhan X Series,” katanya dalam kenyataan.
Model PIES Proton iaitu Saga, Iriz, Persona, Exora, terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 34.3 peratus. berbanding YTD 2022.
Proton Saga kekal tertinggi mendahului dengan 6,349 unit terjual, kedua tertinggi untuk tahun ini, mempamerkan popularitinya yang berkekalan di kalangan pembeli kereta Malaysia.
Secara keseluruhan, pengeluar kereta nasional itu terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran dengan mencatat satu lagi rekod jualan pada November sebanyak 12,296 unit bagi domestik dan eksport.
Jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton sebanyak 141,900 unit, domestik 138,876 unit dan eksport 3,024 unit, melepasi jualan pada 2022 sebanyak 141,432 unit. Ia pertumbuhan sebanyak 12 peratus, membawa kepada pegangan pasaran yang stabil sebanyak 19.7 peratus.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan kedua Proton dalam kalangan jenama automotif, menunjukkan daya tahan dalam pasaran yang kompetitif.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berakta, November telah membentuk dengan baik untuk Syarikat dan Proton bersedia untuk penutupan akhir tahun yang kukuh.
“Barisan model kami merupakan pemain utama yang sempurna dan sejajar dengan keutamaan untuk gaya, prestasi, teknologi dan kepraktisan.
“Penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan kami telah mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memastikan proses pemilikan yang lancar. Kami yakin untuk mengakhiri tahun ini dengan kukuh, menyerahkan kereta ke tangan pelanggan kami sebelum tahun ini berakhir,” katanya. – UTUSAN










