PETALING JAYA: Pengganti Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menjadi tanda tanya, setelah lebih seminggu jawatan tersebut masih belum diisi.
Dana pencen sebelum ini memaklumkan, pengganti Amir Hamzah yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada dalam rombakan Kabinet pada 11 Disember lalu akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Sepanjang tempoh itu, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu.
Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi baharu TH, berkuatkuasa pada 20 Disember 2023 menggantikan Azman yang tamat tempoh sebagai Pengerusi menguatkan lagi spekulasi tersebut.
Sejak dilantik sebagai Pengerusi TH pada 20 Disember 2021, Azman berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 Nov 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir tujuh peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, CEO KWSP perlulah seseorang yang berpendidikan dan profesional terutama dalam bidang yang diceburi.
Katanya, beliau juga harus memiliki pengalaman yang luas dan mendalam dalam sektor korporat, pelaburan dan kewangan serta minat dalam apa yang beliau lakukan.
“Seseorang CEO KWSP perlu memiliki visi yang menjurus kepada mengangkat KWSP menjadi organisasi keselamatan sosial yang terkemuka di rantau ini dan dunia amnya.
“Bukan saja sebagai agensi kerajaan yang terbaik di Malaysia malah dapat dijadikan contoh oleh agensi-agensi lain,” katanya.
Fuad berkata, CEO baharu perlu memiliki misi atau hala tuju yang jelas dan objektif dalam menjadikan KWSP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan pencarum keseluruhan.
Untuk rekod, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM47.86 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023 (9B2023). Ia merupakan peningkatan sebanyak 33 peratus daripada RM36.04 bilion daripada tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi agihan dividen pula, di sebalik cabaran ekonomi, KWSP masih mampu memberikan pulangan yang baik sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan syariah tahun 2022. –UTUSAN










