Rumah mampu milik di Perlis bawah RM150,000

Rumah mampu milik di Perlis bawah RM150,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Negeri Perlis telah menyediakan Dasar Pemba­ngunan Hartanah Negeri Perlis (DPHPs) dan ia menjadi panduan dan rujukan kepada pemaju dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) di ne­geri ini.

Malah, rumah mampu milik di Perlis juga adalah kurang daripada RM150,000 sekali gus memberi keutamaan kepada rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, ia juga sebagai manifestasi jelas komitmen kerajaan negeri dalam menye­diakan polisi yang memberi keutamaan kepada rakyat dalam memiliki rumah.

“Berdasarkan DPHPs tersebut, RMM di Perlis adalah berharga kurang daripada RM150,000 dengan keluasan bangunan 800- 900 kaki persegi.

“Bagi kawasan pembangunan yang berkeluasan lima ekar dan ke atas, pemaju adalah diwajibkan untuk menyediakan RMM sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan kawasan pembangunan (60 peratus).

“Manakala, untuk pembangunan yang kurang daripada lima ekar, pemaju diberi pilihan untuk membina RMM atau membayar levi wang gantian RMM pada kadar RM75,000 bagi seunit rumah yang tidak dibina,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya lagi, bagi memboleh­kan penduduk di negeri ini memiliki rumah, kerajaan ne­geri melalui DPHPs juga telah menetapkan keperluan penyediaan RMM di dalam pemajuan perumahan swasta.

“Penduduk Perlis yang mempunyai kelayakan seperti pendapatan isi rumah kurang daripada RM6,000, berumur 18 ke atas yang telah berkahwin, berumur 25 tahun ke atas bagi yang belum berkahwin dan pasangan yang masih belum mempunyai rumah boleh memohon,” katanya.

ASRUL AIMRAN ABD. JALIL

Sementara itu, Asrul Aimran berkata, kerajaan negeri juga sentiasa komited dalam menyediakan RMM di Perlis.

Katanya, antara pengisian peserta bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kuala Perlis merangkumi 60 unit.

Selain itu, pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Besar merangkumi 75 unit.

“Projek tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tarikh milik tapak 15 Februari 2023. Selain itu, pembinaan Residensi Awam Perlis secara Request for Proposal daripada pemaju swasta di cadangan tapak Tok Kuning dan Padang Besar.

“Projek ini dalam proses rundingan harga dan akan dimuktamadkan pelaksanaannya dan cadangan PPR atau Program Perumahan Malaysia (PPM) Simpang Empat yang dipohon di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12.

“Manakala, baki unit rumah kos rendah awam yang masih belum diisi adalah seperti PPR (sewaan), 28 unit; Perumahan Awam Kos Rendah (jual beli) sebanyak 14 unit. Selain itu, Pe­nempatan Semula Nelayan (PSN) iaitu sebanyak 43 unit.

“Kekosongan ini akan ditawarkan kepada senarai me­nunggu yang diterima dari semasa dan semasa serta tertakluk kepada prosedur operasi stan­dard penawaran rumah kos rendah awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×