Ringgit akhiri 2023 lebih kukuh

Ringgit akhiri 2023 lebih kukuh

RINGGIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mengakhiri 2023 dengan prestasi kukuh apabila mencecah 4.595/4.604 pada pembukaan semalam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.606/4.612 pada penutupan pada Khamis.

Pada 9 pagi Jumaat, ringgit juga diniagakan lebih baik berbanding mata wang utama iaitu pound Sterling pada 5.852/5.866 daripada penutupan Khamis sebanyak 5.897/5.906, euro pada 5.089/5.100 daripada 5.122/5.129 dan yen pada 3.244/3.251 daripada 3.269/3.273.

Pengukuhan tersebut didorong oleh unjuran penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pengukuhan ini memberi indikator yang memberangangkan untuk tahun hadapan.

Katanya, perkembangan positif tersebut juga didorong statistik-statistik yang baik dalam ekonomi negara termasuk kestabilan ekonomi dan politik.

“Untuk tahun depan, kita akan lihat pada perkembangan ekonomi di AS dan juga China yang akan memberi kesan kepada pasaran global. Bagi awal tahun depan, saya jangkakan ringgit akan berada sekitar RM4.50 hingga RM4.62 dan tak mungkin sampai kepada RM4.70.

“Bagaimanapun, ringgit dijangka akan terus mengukuh menjelang akhir tahun depan. Ada yang mengatakan boleh capai sehingga RM4.0, didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan kestabilan ekonomi dunia,” katanya semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes dalam laporan Bernama berkata, data ekonomi AS yang lemah, termasuk kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada jangkaan dan angka jualan rumah yang mengecewakan akan memberi kesan negatif kepada dolar AS.

“Pada masa ini, isu utama dalam pasaran pertukaran asing ialah mereka menetapkan harga dalam potensi pemotongan kadar faedah sebanyak 150 mata asas, dengan jangkaan pemotongan pada Mac tahun depan.

“Bagaimanapun, Fed hanya memberi gambaran pemotongan 75 mata asas bermula pada separuh kedua tahun ini. Percanggahan ini akan diselesaikan sebaik sahaja kami menerima laporan gaji bukan ladang AS yang pertama pada awal Januari.

“Laporan pekerjaan yang kukuh boleh menangguhkan pemotongan awal kadar Fed, manakala laporan yang lemah berkemungkinan mengukuhkan jangkaan penurunan kadar pada Mac dan membawa kepada kelemahan ketara dolar AS,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×