PETALING JAYA: Lebih 20 peratus harga barangan mentah terutama ayam dan ikan mampu dikurangkan menerusi sistem jualan di Pasar Dakwah Sepanjang Hayat (DSH), Puchong.
Sistem jualan terus daripada pengusaha tanpa melibatkan orang tengah di pasar berkenaan turut memastikan jaminan bekalan dan status halal barangan mentah terutama ayam serta daging segar.
Menurut Pengerusi Pasar DSH, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, selain itu perkhidmatan yang diperkenalkan turut menjadi langkah penting bagi memperkukuh kedudukan kawasan setempat dalam arena ekonomi berasaskan perkhidmatan halal yang akan memanfaatkan rakyat di sesebuah kawasan.
“Inisiatif ini secara tidak langsung membuka lembaran baru dalam ekosistem penjualan barangan segar di Malaysia dan diharap dapat dibuka di tempat lain satu masa nanti.
“Kita bersedia untuk meluaskan model dan sistem yang sama di tempat lain demi memastikan orang ramai dapat menikmati harga jauh lebih murah dan keterjaminan bekalan di sesebuah kawasan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha tersebut juga dibuat sebagai sebahagian fardu kifayah demi memastikan umat Islam tidak terus gusar dengan isu logo halal palsu.
Beliau dalam masa yang sama turut menyasarkan kira-kira 2,000 produk tempatan dapat di jual di pasar terbabit di beberapa kawasan terpilih di seluruh negara menjelang tahun beberapa tahun akan datang.
“Ia diharapkan dapat memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) membantu masyarakat membuat pilihan harga lebih murah,” ujarnya.-UTUSAN










