PETALING JAYA: MULA meminati bidang perniagaan ketika melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Mikrobiologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 2005 memberikan peluang mencari pendapatan sampingan.
Pemilik jenama kuah Yong Tau Foo Taiping, Rafidah Zainul Abidin, 36, berkata, dia menjalankan pelbagai perniagaan sepanjang pengajian seperti menjual tambah nilai (topup), coklat dan sebagainya.
“Saya memang minat bidang berniaga ini. Jadi, saya mencuba pelbagai perniagaan ketika menuntut di universiti. Di situ saya boleh menjana pendapatan RM100 hingga RM200 sebulan.
“Saya juga memang berasal dari keluarga yang majoriti berniaga jadi, minat berniaga telah dipupuk sejak kecil malah, impian sejak kecil saya memang untuk berniaga sendiri.
“Selepas berhenti kerja di dua kilang makanan berbeza, saya mendapati sukar untuk saya berkembang di bawah seliaan orang maka, saya mula mengkaji produk yang sesuai untuk di jual dan saya mula fokus dalam bidang makanan kuah segera ini pada 2021 ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia turut dibantu suami, Mohd. Fairus Mohd. Adnan,38 yang menguruskan bahagian pengeluaran produk di lot kedai di Taman Panglima, Ipoh, Perak.
“Bermula dengan modal sebanyak RM1,000 saya kini, mampu menjana keuntungan lebih kurang RM10,000 sebulan,” katanya.
Rafidah memaklumkan, dia memulakan membuat perniagaan kuah Yong Tau Foo secara kecil-kecilan kerana menu tersebut menjadi menu keluarganya dan menjadi menu wajib ketika berkumpul adik-beradik.
“Saya kemudiannya mula mengedarkan produk ini kepada kawan-kawan. Bermula situ saya mula nampak permintaan produk ini dan berniaga kuah Yong Tau Foo Taiping ini sejak 2017,” katanya dia pernah menjadi stokis perniagaan susu kanak-kanak sejak 2013.
Jelas Rafidah, terdapat tiga jenis pek segera iaitu pek biasa RM15 (4 hingga 6 orang makan), pek biasa extra pedas RM15 (4 hingga 6 orang makan) manakala, pek jumbo 4 Kilogram (Kg) bagi RM60 hingga 80 orang makan.
“Keunikan kuah segera Yong Tau Foo segera ini adalah pelanggan tidak perlu membancuh atau memanaskan produk tersebut kerana ia ‘ready to eat’.
“Produk segera ini juga boleh dipos ke seluruh Malaysia disebabkan pembungkusan tahan lasak dan boleh tahan sehingga enam bulan pada suhu bilik,” katanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Biomolecular Sains pada 2011 dari UiTM Shah Alam itu menjelaskan, dia lebih selesa menjual produk buatan sendiri yang diproses daripada A to Z kerana mudah untuk membuat strategi jualan, kawalan harga, menjaga kualiti produk dan lebih penting puas hati apabila produk dihasilkan sendiri.
“Sebagai usahawan kecil, saya merasakan cabaran utama adalah modal pusingan serta tenaga kerja.
“Bagi adik adik yang minat berniaga, teruskan dan tidak perlu sempurna untuk bermula dan perbaiki produk dari masa ke semasa.
“Saya juga menekankan keutamaan perlu sentiasa mahu rasa ingin belajar dan bersedia menerima teguran,” katanya yang kini mempunyai lima orang kakitangan dan lebih 50 ejen dan banyak memfokuskan jualan secara dalam talian. – UTUSAN










