KEINDAHAN bumi Perlis yang tenang dan terhindar daripada kesibukan dan kesesakan menjadi antara faktor ramai memilih untuk membeli atau membina kediaman di negeri ini.
Malah, Perlis juga lazimnya menjadi pilihan warga kerja khususnya penjawat awam dari luar menghabiskan usia emas mereka dengan terus menetap di negeri ini selepas bersara.
Berikutan itu, tawaran rumah berharga RM300,000 ke bawah di negeri juga mendapat permintaan tinggi dalam pasaran manakala kediaman yang lebih mahal juga masih ada permintaan bagi golongan yang mampu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, jangkaan harga rumah agak stabil namun berkemungkinan sedikit meningkat disebabkan kenaikan kos barang-barang asas pembinaan seperti simen dan lain-lain.
Katanya, bagi Rumah Mampu Milik (RMM) pula, penetapan harga adalah berpandukan kepada Dasar Rumah Mampu Milik, Dasar Perumahan Negara dengan mengambil kira purata pendapatan isi rumah di Perlis.
“Bagi negeri Perlis, harga maksimum bagi RMM adalah di bawah kawalan kerajaan negeri iaitu RM150,000. Dengan penetapan harga tersebut akan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Tambahnya, perancangan kerajaan negeri bagi projek perumahan di Perlis tahun depan adalah dengan terus menggalakkan pembinaan rumah bagi rakyat yang memerlukan kediaman.
Katanya, ia selaras dengan keperluan rumah yang ditetapkan melalui Rancangan Struktur Negeri 2030 dan data penyediaan rumah diperolehi melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Ujarnya, kerajaan negeri juga sedang meneliti semula Dasar Pembangunan Hartanah Negeri Perlis (DPHPs) supaya dasar ini lebih menarik dan mengambil kira perkembangan semasa.
“Bagi golongan yang layak memohon, pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Besar sedang dalam proses pembinaan dengan 75 unit rumah pelbagai tingkat.
“Cadangan permohonan projek baru PPR juga diteruskan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang dalam proses memuktamadkan cadangan pelaksanaan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik Awam ‘Residensi Awam Perlis’ secara Request For Proposal di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti,” katanya.
Katanya, pembangunan RMM juga menjadi tumpuan khusus kerajaan negeri melalui inisiatif oleh pihak kerajaan dan swasta.
Katanya, untuk pembangunan projek perumahan swasta, keperluan penyediaan RMM adalah berpandukan DPHPs.
“Iaitu bagi kawasan pembangunan yang berkeluasan lima ekar dan ke atas, pemaju adalah diwajibkan untuk menyediakan RMM sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kelusan kawasan pembangunan 60 peratus,” katanya. – UTUSAN









