Jauhi urus niaga tidak beretika - Fadillah

Jauhi urus niaga tidak beretika – Fadillah

FADILLAH Yusof pada majlis perasmian Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa 2023 di Putrajaya, semalam. – GAMBAR FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemegang taruh dalam industri halal harus menjauhi urus niaga yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang untuk memupuk ekosistem ekonomi halal yang komprehensif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, ekonomi halal yang komprehensif mesti menyepadukan nilai-nilai keadilan, kebenaran dan kebajikan terutamanya berkaitan transaksi perniagaan.

“Pihak berkepentingan dalam industri halal mesti menjauhi urus niaga yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang seperti ketidakjujuran, manipulasi harga, campur tangan pasaran atau menyorok bekalan,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Islam dan Ekonomi Halal Antarabangsa (ICIHES) 2023 serta Persidangan Undang-Undang Islam, Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia perlu memperkasa aspek utama dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan, latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global dalam menjadikan negara sebagai hab ekonomi halal berdaya maju.

Ini kerana katanya, industri halal menjadi sektor perpotensi tinggi dengan nilai ekonomi global mencecah AS$5 trilion (RM23.26 trilion) menjelang 2030.

Selain itu, Fadillah berkata, banyak negara mula mengiktiraf halal sebagai proposisi nilai penting yang mampu menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara masing-masing.

“Permintaan yang meningkat untuk barangan dan perkhidmatan halal telah menyebabkan negara bukan Islam seperti Thailand, Australia dan Brazil menjadi pengeksport produk halal yang terkemuka daripada makanan diproses kepada daging dan ayam.

“Kita tidak boleh lupa bahawa halal bukan semata-mata pensijilan tetapi mewakili peluang perniagaan yang besar.

“Walaupun proses pensijilan mungkin tidak menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara, aspek perniagaan halal yang lebih luas menjana kekayaan, memupuk kesejahteraan masyarakat dan meningkatkan pulangan ekonomi pada perspektif yang luas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×