CEO KWSP baharu mungkin ‘orang dalam’?

CEO KWSP baharu mungkin ‘orang dalam’?

NURHISHAM HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siapa yang bakal menerajui jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menjadi tanda tanya.

Selepas 17 hari jawatan itu kosong susulan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet 12 Disember lalu, ia masih belum diganti.

Perkembangan itu sekaligus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan banyak pihak, siapakah tokoh yang bakal menerajui dana pencen terbesar negara itu?

Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, faktor kelewatan pelantikan CEO KWSP baharu berkemungkinan disebabkan suasana hujung tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat kelewatan itu akan menyebabkan KWSP berdepan masalah.

“Saya tidak melihat KWSP akan menghadapi masalah jika lambat mencari pengganti CEO kerana KWSP merupakan institusi simpanan dan pelaburan yang cukup profesional dan mempunyai pasukan pengurusan yang terbukti kecekapannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah kata Ahmed Razman, ramai individu profesional yang boleh menjadi CEO KWSP baharu dan ia bukanlah satu isu kepada institusi berkenaan.

“Saya menjangkakan bakal pengganti CEO KWSP dilantik ‘dalam’ institusi tersebut,” katanya mengulas calon CEO terbabit.

Dalam pada itu, mengambil kira senario semasa, pensyarah kanan itu menjangkakan dividen 2023 KWSP  kemungkinan naik sedikit dari tahun sebelumnya.

Sebelum ini, antara nama yang disebut bakal menerajui jawatan tertinggi dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset itu ialah Nurhisham Hussein dan Pengarah urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH),  Syed Hamadah Syed Othman. Turut disebut-sebut ialah bekas Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Nurhisham adalah Ketua Pegawai Strategi KWSP, dan ketika ini beliau dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri sebagai Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan selama dua tahun. Beliau bukanlah nama yang asing dalam KWSP kerana sudah terbabit sebagai penggerak utama pelbagai agenda serta langkah yang dilaksanakan KWSP sejak pandemik yang lalu.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpandangan, ketiadaan CEO KWSP sehingga kini disebabkan kerajaan perlu mencari pengganti yang sesuai.

“Saya merasakan kerajaan akan ambil masa juga dalam mencari calon yang sesuai dan berpengalaman untuk menerajui KWSP.

“Walaupun beberapa nama disebut-sebut namun, kerajaan mengambil langkah pragmatik bagi memilih calon terbaik bagi menerajui dana persaraan terbesar negara yang kini mempunyai aset berjumlah lebih RM1.1 trilion,” katanya.

Apa yang penting jelas Aimi Zulhazmi, sama ada pelantikan dalam kalangan `dalaman’ atau `luaran’, individu berkenaan adalah profesional dan berkelayakan dalam mengurus dana persaraan sebenar KWSP.

“Saya rasa mungkin seorang pemangku CEO akan dilantik mungkin merupakan Ketua Pegawai Operasi semasa atau Ketua Pegawai Kewangan Dana iaitu yang telah maklum dan biasa tentang operasi KWSP itu sendiri.

“KWSP memerlukan sedikit masa untuk memastikan proses pemilihan yang bijak dan strategik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×