PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi sedikit, menjejaki prestasi lebih baik di Wall Street semalaman, berdasarkan jangkaan aliran masuk dana asing berterusan ke bursa tempatan.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.38 mata kepada 1,465.66 berbanding penutup semalam pada 1,465.28.
FBM KLCI dibuka 1.28 mata lebih baik pada 1,466.56.
Bagaimanapun, pasaran yang lebih luas sedikit negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter sebanyak 133 berbanding 111, manakala 260 kaunter tidak berubah, 1,812 tidak diniagakan dan 12 lagi digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 150.02 juta unit bernilai RM72.04 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, di pasaran tempatan, FBM KLCI membuat kemajuan selanjutnya untuk ditutup pada 1,465 atau paras tertinggi sebulan pada Isnin.
“Kami percaya aliran dana asing akan berterusan ke dalam pasaran ekuiti, sekali gus menjangkakan indeks itu berada dalam aliran antara 1,460 hingga 1,470 hari ini.
“Kami perhatikan sejak enam bulan lalu, paras 1,465 mata nampaknya menjadi rintangan yang kuat, justeru jika paras ini ditembusi dengan meyakinkan, kami mungkin melihat indeks mungkin mencabar paras 1,500,” katanya.
Mengulas mengenai Wall Street, beliau berkata, pelonggaran kadar faedah dan pertumbuhan ekonomi akan terus memainkan peranan walaupun penilaian mungkin menjadi halangan.
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi utama Maybank naik dua sen kepada RM9.02, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM9.95, Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM7.13, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.35 dan CIMB juga kekal pada RM5.94.
Bagi saham aktif pula, Careplus menokok tiga sen kepada 49.5 sen, Top Glove naik setengah sen kepada 96.5 sen, manakala Leform tidak berubah pada 38.5 sen, Nexgram pada 3.5 sen dan SMTRACK pada 4.5 sen. – UTUSAN










