Bilangan penganggur terus menurun

Bilangan penganggur terus menurun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan kadar pengangguran sebanyak 3.4 peratus dengan bilangan penganggur terus menurun berjumlah 570,900 orang pada Oktober 2023, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pasaran buruh pada Oktober 2023 terus mengukuh, berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh berada pada trend me­ningkat pada Oktober 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan mencatatkan 16.97 juta orang (September 2023: 16.95 juta orang).

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2023 tidak berubah iaitu pada 70.1 peratus seperti pada bulan sebe­lumnya,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia Oktober 2023, semalam.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Oktober te­rus meningkat dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus, mencatatkan 16.40 juta orang berbanding bulan sebelumnya (September 2023: 16.38 juta orang).

Sebaliknya, bilangan pe­nganggur pada Oktober terus berada dalam trend penurunan dengan pengurangan seba­nyak 0.5 peratus kepada 570,900 orang (September 2023: 573,700 orang).

“Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.4 peratus, seperti yang direkodkan pada bulan lalu,” jelasnya.

Mengenai situasi guna tenaga, Ketua Perangkawan berkata, kategori pekerja merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober 2023, mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.35 juta orang (September 2023: 12.33 juta orang).

Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.4 peratus kepada 2.99 juta orang (September 2023: 2.97 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, terdapat peningkatan yang konsisten dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong dan runcit; Perkhidmatan makanan dan minuman; dan Pengangkutan dan penyimpanan.

Pada masa yang sama, sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan dan pengkuarian, serta sektor Pertanian juga mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Oktober 2023.

Mengulas situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd. Uzir menyatakan, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.1 peratus daripada jumlah pe­nganggur, turun sebanyak 0.4 peratus merekodkan 457,200 orang (September 2023: 458,900 orang).

“Pada Oktober, kadar pe­ngangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.7 peratus, seramai 313,300 penganggur belia (September 2023: 10.6 peratus; 310,100 orang). Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun 0.1 peratus kepada 6.6 peratus, seramai 439,600 orang (September 2023: 6.7 peratus; 440,000 orang),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN