PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming menyokong Kongres Ekonomi Bumiputera (BEC) 2024 tetapi menekankan harus ada perbezaan dari segi kandungan dan pendekatan.
Dalam kenyataan, beliau menggariskan beberapa cadangan utama termasuk mengadakan penilaian kejayaan dan kelemahan program tajaan kerajaan yang lalu dan yang masih berjalan untuk memperkasa ekosistem usahawan bumiputera
Katanya, kementerian dan agensi kerajaan harus bekerjasama dengan ahli akademik dan pihak berkepentingan lain seperti persatuan industri untuk menilai keberkesanan program keusahawanan bumiputera.
“Kajian-kajian ini harus menyerlahkan kisah kejayaan tetapi juga jujur tentang kelemahan kebanyakan program tersebut.
“Sebagai contoh, saya berminat untuk meneliti sejauh mana program kelulusan permit (AP) untuk model automobil import terpilih telah berjaya mewujudkan syarikat bumiputera yang berjaya dalam sektor automotif.
“Bidang lain ialah sejauh mana dasar perolehan kerajaan memberi manfaat kepada sebilangan besar kontraktor bumiputera atau adakah ia hanya menguntungkan beberapa ‘“kartel” yang mengawal majoriti kontrak kerajaan ini,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, hanya dengan kajian bebas sebegini sahaja, polisi sedia ada boleh ditambah baik supaya perniagaan bumiputera yang mampan mempunyai ruang untuk berkembang maju.
Sementara itu, beliau juga mencadangkan untuk mengadakan program penilaian pembangunan vendor bumiputera oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan perkongsian amalan terbaik pengurusan sumber manusia (HR) dalam kalangan syarikat yang diterajui bumiputera.
“Apakah amalan terbaik di Malaysia dalam kalangan perusahan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar tempatan (LLC) untuk membangun, melatih dan mengekalkan bakat tempatan, termasuk bakat bumiputera dalam syarikat yang diterajui bumiputera?
“Bagaimanakah bakat ini mendapat pengalaman antarabangsa yang sesuai untuk menyediakan sebahagian daripada mereka bersedia untuk memimpin syarikat ini ke arena antarabangsa?
“Apakah dasar biasiswa dan latihan amali yang paling berkesan untuk menarik bakat terbaik ke dalam syarikat ini?” soal beliau.
Kian Ming juga mencadangkan penerokaan perkongsian yang berjaya antara syarikat diterajui bumiputera dan bukan bumiputera dalam pelbagai sektor.
Beliau juga mahu penelitian rekod pelaburan yang diterajui kerajaan dengan agenda pemerkasaan bumiputera kerana terdapat dana pelaburan modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) tertentu yang diwujudkan oleh kerajaan dengan objektif tersebut.
“Ekuinas akan menjadi kajian kes yang baik. Ia ditubuhkan pada 2009 untuk “menggalakkan penciptaan kekayaan dan penyertaan ekonomi bumiputera yang saksama dan mampan berdasarkan prinsip kemesraan pasaran, merit dan telus melalui penciptaan syarikat peneraju generasi akan datang Malaysia.
“15 tahun kemudian, apakah rekod prestasi Ekuinas? Ia terpaksa menjual semua sahamnya dalam francais Burger King pada 2015 kepada kumpulan yang dikawal oleh dua ahli perniagaan bukan bumiputera termasuk pengasas rangkaian 99 Speedmart.
“Ekuinas juga telah melupuskan pelaburan lain dalam sektor makanan dan minuman (F&B) termasuk pelaburan dimiliki oleh pemilik bumiputera. Ini adalah soalan yang sukar dan mencabar yang harus dibincangkan di BEC. Ekuinas hanyalah satu daripada banyak agensi kerajaan seperti itu,” ujarnya.
Beliau juga menyokong perbincangan komprehensif mengenai pemerkasaan bumiputera di Sabah dan Sarawak, mengakui cabaran unik yang dihadapi oleh komuniti ini.
Beliau yang menyambut baik pelantikan Ibrahim Sani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju yang baharu berkata, pengalaman sektor korporat oleh Ibrahim akan membawa perspektif yang bernas kepada BEC. – UTUSAN










