ASB naik bayangan dividen KWSP 2023 lebih tinggi?

ASB naik bayangan dividen KWSP 2023 lebih tinggi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2023 yang lebih tinggi sebanyak 5.25 sen, memberi bayangan peningkatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2024.

Penganalisis ekonomi berpendapat, prestasi yang lebih baik itu juga pertanda ekonomi negara semakin pulih dengan pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar dividen ASB yang lebih tinggi memang sudah dijangka.

Walaupun prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) masih lagi belum pulih sepenuhnya, beliau berkata, pulangan dari pelaburan ekuiti luar negara memastikan kadar dividen yang diumumkan lebih tinggi dari tahun sebelumnya

“Kemungkinan akan berlaku bayaran dividen yang lebih tinggi daripada KWSP bagi 2023. Mungkin 5.45 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.0 peratus bagi simpanan syariah.

“Saya melihat faktor-faktor yang mempengaruhi adalah hasil pemulihan ekonomi tempatan, walaupun prestasi ekuiti dan hartanah masih bercampur-campur.

“Namun, tiada lagi skim yang membenarkan pengeluaran caruman KWSP untuk digunakan bagi mengoptimumkan lagi strategi pelaburan mereka demi mendapatkan pulangan yang lebih kompetitif,” katanya.

Pada 2022, KWSP mengumumkan agihan dividen sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah. Jumlah itu lebih rendah berbanding 2021 sebanyak 6.10 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, dividen ASB yang lebih baik gambaran keadaan ekonomi negara yang lebih stabil ketika ini.

Menurutnya, ini didorong oleh kadar pengangguran yang menurun dan eksport bersih barangan meningkat kepada RM32.7 bilion pada suku ketiga daripada RM29.5 bilion pada suku kedua 2023.

“Sudah pasti bayaran dividen KWSP juga lebih tinggi bagi 2023. Saya jangkakan antara 5.45 hingga 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.85 hingga 4.95 peratus untuk Simpanan Shariah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×