MEMBELI rumah baharu bukannya sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana proses tersebut melibatkan transaksi yang mungkin paling besar dilakukan oleh seseorang individu.
Perancangan yang lebih awal dapat membantu pembeli untuk membuat pilihan yang bijak serta menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik apabila memiliki rumah baharu nanti.
Sebelum memulakan proses mencari rumah yang diidamkan, pembeli perlu mengetahui bajet yang mereka perlukan, jenis rumah yang diinginkan dan kos-kos sampingan yang perlu disediakan untuk proses jual dan beli rumah.
Minggu ini Ringgit berkongsi dengan pembaca panduan serta persediaan yang diperlukan sebelum membeli kediaman idaman masing-masing.
1. Harga rumah di Malaysia.
Harga hartanah di negara ini berbeza bergantung pada jenis hartanah dan lokasi. Kediaman di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, pastinya lebih tinggi berbanding negeri-negeri yang lain.
Harga hartanah median berkisar antara RM300,000 dan RM500,000. Rumah teres berkisar antara RM300,000 dan RM800,000, manakala kondominium dan apartmen antara RM300,000 dan RM600,000.
Namun begitu, kediaman yang dibina di pinggir bandar-bandar tersebut adalah lebih rendah dan kemudahannya juga tidak kurang baik terutamanya dengan pembangunan perbandaran baharu seperti di Semenyih dan Seremban.
Bagi warganegara Malaysia yang layak pula, anda masih lagi berpeluang memiliki rumah di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kos antara RM200,000 hingga RM300,000 menerusi skim Rumah Selangkorku dan Residensi MADANI.
2. Kos-kos yang diperlukan semasa proses membeli rumah
Kos pendahuluan bukan hanya bermakna bayaran pendahuluan sahaja tetapi terdapat beberapa perbelanjaan lain yang perlu diambil kira oleh pembeli.
Selain, kos pendahuluan yang biasanya kira-kira 10 peratus daripada harga hartanah, pembeli perlu menyediakan duti setem untuk memorandum pemindahan (MOT) iaitu antara satu hingga empat peratus daripada harga pembelian hartanah.
Pembeli juga perlu menyediakan duti setem untuk perjanjian jual beli (SPA) sebanyak RM10, duti setem untuk perjanjian pembiayaan (0.5 peratus daripada jumlah pembiayaan), fi ejen hartanah (tiga peratus daripada harga pembelian hartanah) dan juga kos untuk insurans gadai janji bergantung pada pelan yang dipilih.
3. Berapa bayaran pendahuluan rumah yang diperlukan.
Bayaran pendahuluan minimum rumah di Malaysia biasanya 10 peratus daripada harga pembelian hartanah.
Bagaimanapun, pembeli boleh membayar lebih daripada jumlah tersebut jika berkemampuan untuk berbuat demikian.
Bahagian pertama bayaran pendahuluan biasanya dibayar sebagai sebahagian daripada deposit untuk menempah hartanah tersebut.
Dalam kebanyakan kes, deposit itu merupakan pembayaran dua peratus yang tidak boleh dikembalikan.
4. Mampukah anda membayar pembiayaan bulanan.
Jika semua bajet untuk proses membeli rumah sudah tersedia, anda perlu juga bertanya kepada diri sendiri sama ada adakah anda mampu untuk membayar kos pembiayaan bulanan kepada pihak bank apabila pinjaman lulus dan sudah membeli rumah baharu.
Jumlah ansuran bulan adalah bergantung kepada harga hartanah, jenis pembiayaan, tempoh pembiayaan dan kadar faedah pembiayaan rumah.
Tempoh pembiayaan di negara ini biasanya adalah sehingga 35 tahun atau pun sehingga umur 70 tahun.
Oleh itu, jika anda membuat pinjaman pada umur 37 pada tahun 2023, maka tempoh pembiayaan anda hanya layak untuk 33 tahun sahaja. – UTUSAN










