PETALING JAYA: Alphacapital (M) Berhad akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat perlombongan dan komoditi, Arifa Dynamic Sdn. Bhd. (Arifa Dynamic) bagi menjalankan aktiviti perlombongan pasir silika di Terengganu.
Ketua Pengarah Eksekutif Alphacapital, Syed Mahadzir Fadaak berkata, pihaknya akan menyediakan pembiayaan bagi projek berkenaan dengan sasaran sebanyak 600,000 tan metrik tan pasir silika dihasilkan setiap tahun dengan nilai lebih RM30 juta.
Katanya, kerjasama untuk tempoh 30 tahun itu secara tidak langsung bakal menyediakan peluang pekerjaan baharu selain mengukuhkan permintaan pasir silika peringkat domestik dan antarabangsa.
“Pasir silika merupakan bahan mentah utama dalam pelbagai industri termasuk pembuatan kaca, logam dan pengeluaran kimia.
“Operasi penuh bakal bermula pada Januari depan dengan aspirasi untuk menempatkan Malaysia sebagai pengeluar pasir silika terkemuka bersama China, Taiwan, Korea Selatan dan Australia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Arifa Dynamic, Wan Aliff Nasrul Hakim berkata, kerjasama itu membolehkan mereka meningkatkan operasi dan memenuhi permintaan pasaran.
“Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan operasi dan memenuhi permintaan pasaran secara komprehensif serta skala yang lebih besar.
“Pembiayaan dan sokongan Alphacapital akan membolehkan kami memaksimumkan potensi tapak perlombongan ini dan memperkuat kedudukan Terengganu sebagai pusat perlombongan dan komoditi utama negara,” katanya. – UTUSAN










