PETALING JAYA: Affin Bank Bhd. melantik Mohammad Fairuz Mohd Radi sebagai Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan, berkuat kuasa Jumaat lepas.
Affin Bank berkata, Mohammad Fairuz mempunyai pengalaman hampir 20 tahun merentasi pelbagai industri termasuk perbankan, pembangunan hartanah dan perundingan.
“Beliau memegang peranan strategik, termasuk sebagai ketua strategi untuk perkhidmatan kewangan masyarakat dan perbankan borong, ketua pegawai strategi, dan pengarah perbankan transaksi.
“Sumbangan beliau penting kepada transformasi dan pengembangan portfolio pinjaman runcit dan deposit melalui rangkaian pengedaran jualan yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Kumpulan itu, Mohammad Fairuz juga akan bertanggungjawab untuk mengemudi hala tuju, strategi, pengurusan kewangan, dan keuntungan perniagaan perbankan masyarakat.
“Ini memacu strategi ke pasaran keseluruhan, mengawasi pengurusan hubungan dan menerajui pembangunan perniagaan untuk pelanggan perbankan komuniti baharu dan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pelantikan Mohammad Fairuz menandakan langkah penting dalam komitmen Bank itu terhadap pengembangan dan kejayaan perniagaan perbankan komunitinya.
“Pelantikan Mohammad Fairuz mencerminkan dedikasi kami untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan yang bertanggungjawab.
“Ini akan memberi impak kepada semua pelanggan, pemegang saham dan pekerja kami,” katanya.
Dalam pada itu, Affin Bank berkata, Mohammad Fairuz memegang ijazah Sarjana Sains dalam teknologi untuk komunikasi jalur lebar dari University College London di UK.
“Selain itu, beliau juga mempunyai Sarjana Muda Sains dalam kejuruteraan elektrik dari Pennsylvania State University di Amerika Syarikat,” katanya.- UTUSAN









