Berteknologi moden di sebalik rekaan retro klasik

TRIUMPH SPEED TWIN 1200 – Berteknologi moden di sebalik rekaan retro klasik

REKAAN yang ditiru secara meluas, namun tidak dapat menandingi sang asli. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila mengaitkan jenama ini dengan motosikal berkonsep klasik retro, ternyata ramai bakal bersetuju mengenai label tersebut. Seringkali konsep ini telah ditiru oleh banyak model Barat, malah pembuat motosikal dari China telah mula menghasilkan banyak jenama yang memperkenalkan konsep Retro Klasik ini. Dan kebanyakannya menghasilkan sama ada dengan harga jualan yang murah atau kapasiti enjin yang rendah.

Ramai memperakui, TRIUMPH SPEED TWIN ini adalah satu-satu motosikal berkonsep Retro tetapi ia didatangkan dengan sistem pengendalian, suspensi dan brek yang moden. Ayuh kita kupas keistimewaan jentera ini.

REKA BENTUK

Klasik. Retro. Nostalgia. Sama ada dari segi jenama mahupun reka bentuknya. Menggunakan enjin Bonneville yang merupakan ikonik bagi jenama Triumph. Enjin yang memaparkan konsep empat lejang dengan berkembar selari, bermula akhir 50-an dahulu dan seterusnya kewujudan enjin Bonneville dapat dilihat dipergunakan secara meluas dalam banyak model-model Triumph yang lain.

Nama Bonneville ini diambil daripada sebuah kawasan di Amerika Syarikat di mana ia adalah sebuah dataran garam yang rata, yang sering menjadi tempat Triumph (dan banyak jenama lain) mencuba untuk mencipta atau memecah rekod kelajuan tertinggi dunia.

Triumph yang juga dikenali umum sebuah jenama daripada UK, walau sejak akhir-akhir ini banyak menghasilkan motosikal berkonsepkan lebih moden dan berteknologi tinggi, namun produk klasik retro mereka menjadi kayu pengukur dalam industri.

Triumph Speed Twin 1200 ini juga adalah salah satu model yang dihasilkan dengan jentera Bonneville. Menggabungkan konsep motosikal Retro dengan teknologi terkini terutama dalam sistem suspensi yang membantu pengendalian agak mengujakan. Begitu juga dengan penggunaan sistem dan jenama brek model ini iaitu BREMBO, satu jenama dari Itali yang tidak asing lagi dalam penghasilan sistem brek yang terbaik serta dipergunakan secara meluas dalam perlumbaan motosikal dunia.

Jika bermula daripada hadapan, iaitu lampu bulatnya terang-terangan menjenamakan konsep retro klasik ini terhadapnya. Namun begitu, diselitkan sedikit lampu-lampu LED untuk membawanya kembali ke abad 21 ini. Perhatikan pula penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, berjenama Marzocchi bersaiz 43mm. Penggunaan sistem ini sudah pasti membolehkan jentera ini lebih jitu dalam pengambilan selekoh dan prestasi pengendalian.

Dilengkapi pula dengan penggunaan sistem brek Brembo M50 yang dipadankan dengan cakera brek 320mm memberikan kuasa pemberhentian yang sangat menakjubkan dengan hanya menggunakan dua jari sahaja.

Begitupun, penggunaan roda acuan aluminium atau lebih mesra dikenali sebagai “Sport Rims” walau menampakkan penumpuannya terhadap pengendalian dan kebolehan prestasi sebuah motosikal sport, namun bagi saya ia satu pengorbanan terhadap imej Retronya. Mungkin pengekalan penggunaan roda retro iaitu jenis ‘spokes’ atau “jejari lidi”, telah pun dibuat terhadap satu lagi model retro berprestasi mereka iaitu THRUXTON, yang sungguh-sungguh mempamerkan konsep ‘Café Racer’.

Penampakkan tayar Metzeler Racetec RR yang digunakan sebagai tayar standard untuk model ini, turut meneguhkan telahan saya bahawa model ini adalah sebuah model prestasi yang diselubungi rekaan retro.

Meter berkembar yang sudah tentu menjadi pandangan utama seseorang penunggang motosikal, seperti kebanyakan model-model Retro, menggunakan konsep meter analog, mempunyai penunjuk jarum untuk kelajuan serta putaran enjin seminit (RPM). Begitupun, sedikit kemodenan terpaksa diselitkan iaitu paparan LCD yang memaparkan mode enjin dan sebagainya.

PENUNGGANGAN

Tidak keterlaluan saya katakan di sini bahawa, prestasinya akan memalukan pengguna-pengguna motosikal sports atau model jalanan yang ada di pasaran. Walau hadir dengan imej retro yang selalunya melambangkan perjalanan santai dan rileks, namun Speed Twin ini dengan namanya, menjanjikan kebolehan anda menunggangnnya dengan ekstrim.

Menghidupkan enjinnya sahaja menjanjikan keseronokan apabila mendengar bunyi daripada corong ekzos. Selain bunyi yang keluar ‘seketul-seketul’ (bahasa yang paling mudah difahami oleh pencinta dua roda) dari ekzos standard, sudah cukup mengujakan pencinta enjin berkembar. Ia tidak langsung membingitkan, malah lebih seperti sebuah lagu yang mampu menaikkan semangat penunggang dalam tunggangan yang laju atau sebaliknya.

Namun begitu, kebolehan memilih untuk penggunaan mod Jalanan, Sport atau Hujan, Speed Twin ini mampu bertindak dengan lebih efisien dalam penunggangan dalam apa jenis cuaca atau keadaan laluan/jalan yang akan anda ambil. Enjin yang responsif dalam apa jua kedudukan gear, dengan pendikit “ride-by-wire” membolehkan prestasi Triumph ini sama hebat dengan motosikal-motosikal sport di luar sana.

Mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, adalah satu kelebihan yang sangat unik untuk sesebuah motosikal retro. Triumph Speed Twin yang begitu mantap serta langsung tidak menunjukkan sifat ‘melawan’ penunggangnya ketika diasak kiri dan kanan dalam selekoh. Selain penyerap hentakannya yang tegar dan begitu konsisten, sistem breknya juga turut banyak membantu apabila menyelamatkan anda daripada menjadi statistik kemalangan dengan hanya menarik tuas brek dengan dua jari.

KESIMPULAN

TRIUMPH SPEED TWIN 1200. Sememangnya motosikal hebat yang patut ditiru oleh lain-lain pembuat dan pengeluar motosikal. Kombinasi retro dan teknologi moden ternyata dapat diadaptasikan dengan cemerlang sehinggakan tanda harga RM77,000 yang dikenakan padanya, mula membuat saya menghitung kembali bajet bulanan saya kerana sudah tentu selepas ini, akan datang mimpi-mimpi indah bersamanya.

Enjin 1200cc berkembar (Euro 5 compliant)
Klac Jenis Torque assist
Kawalan Cengkaman (Traction Control) Pendikit Ride-by-wire dengan sistem cengkaman boleh laras
Mode enjin 3 mode (Road, Rain dan Sport)
Suspensi Jenama Marzocchi jenis terbalik dengan penyerapan katrig dan prabeban boleh laras hadapan)

Jenis berkembar (belakang)

Brek Brembo M50 dengan sistem ABS yang boleh dinyahkan penggunaan
Lampu LED dan DRL, pada lampu hadapan, belakang dan lampu isyarat.
Keperluan Servis Penyelenggaran Setiap 16,000 km /12 months (Yang mana datang dahulu)
Sistem penggera Immobiliser dengan unit pengecas USB di bawah pelana.

UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN