Tourism Malaysia, Perodua jalin kerjasama

Tourism Malaysia, Perodua jalin kerjasama

AMMAR Abd. Ghapar (dua, Kiri) dan Zainal Abidin Ahmad (dua, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd. Roslan Abdullah (kiri) dengan Pengarah Sokongan Korporat 1 Perodua Auto Corporation, Noor Zakiyah Hasan pada majis menandatangani kerjasama antara Tourism Malaysia dengan Perodua di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia meterai perjanjian kerjasama (MoC) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) selama tiga tahun (2024-2026) dalam usaha meningkatkan industri pelancongan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, kerjasama itu menandakan komitmen bersepadu  dalam menjadikan Malaysia negara yang menarik kepada pelancong, sekaligus mencapai matlamat yang sama.

“Antaranya, kebolehcapaian dipertingkatkan, pelancongan yang lestari, mempunyai pertukaran budaya, menggalakkan promosi dan pemasaran serta mempertingkatkan pengalaman pelanggan,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Tourism Malaysia dengan Perodua.

Turut hadir, Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia; Manoharan Periasamy, Timbalan Presiden Perodua; Datuk Ahmad Suhaimi dan Ketua Pegawai Operasi Perodua; JH Rozman Jaafar.

Sementara itu, Presiden Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, kerjasama selari dengan inisiatif ‘mobiliti adalah gaya hidup’ yang dibawa oleh Perodua.

Katanya, Perodua akan menawarkan  khidmat langganan rangkaian kereta nasional itu kepada pelancong domestik dan asing bagi mengembangkan model perniagaan.

Tambah Zainal Abidin, terdapat pakej-pakej lengkap yang akan diberitahu kemudian, termasuk penyewaan kereta Perodua, penginapan dan sebagainya supaya pelancong merasai Malaysia mudah untuk melancong.

“Dalam masa yang sama boleh mendapatkan maklum balas sebenar daripada pelancong asing mengenai pandangan mereka terhadap Perodua,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita, Zainal Abidin berkata, Perodua mengambil kira mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengeluaran kereta elektrik (EV) nasional dalam sasaran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Perodua masih dalam perbincangan dengan kerajaan dan pihak tertentu, tetapi tiada kata muktamad lagi, namun, perkara ini dapat direalisasikan jika semua pihak terlibat turut memberikan kerjasama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN