PETALING JAYA: Sunway Property, cabang hartanah Sunway Berhad, menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Putrajaya Holdings bagi membangunkan bidang tanah strategik komersial utama di Presint 7 dan 8 di Putrajaya.
Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, kerjasama itu satu langkah besar ke hadapan untuk memanfaatkan model perniagaan ‘Build-Own-Operate’ bagi memajukan pembangunan hartanah dan penjagaan kesihatan di Putrajaya.
“Ini peluang untuk menyampaikan penyelesaian pembangunan yang mampan dan inovatif yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan komuniti Putrajaya,” katanya.
Serena menambah, kerjasama itu membentuk asas untuk pembangunan antara organisasi dalam pelbagai sektor seperti perubatan, pendidikan, pembangunan hartanah, dan hospitaliti.
“Usaha kerjasama itu juga akan meneroka pembangunan pusat perubatan di salah satu bidang tanah,” katanya.
Pembangunan pusat perubatan adalah strategik kerana Sunway Healthcare Group (SHG) ialah kumpulan penjagaan kesihatan swasta bersepadu yang terkemuka dengan rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Sehubungan itu Sarena berkata, SHG terus berkembang di beberapa lokasi, termasuk Kota Damansara, Sunway City Iskandar Puteri, Sunway City Ipoh, Kota Bharu dan Paya Terubong, susulan kejayaan di Lembah Klang (Sunway City Kuala Lumpur, Sunway Velocity) dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Pertumbuhan ini akan menjadikan SHG sebagai salah satu kumpulan penjagaan kesihatan terbesar di rantau ini, dengan kapasiti gabungan lebih daripada 3,000 katil,” katanya.
Tambah Sarena, melalui kerjasama itu, Sunway akan fokus pada pembangunan perbandaran pintar dan mampan untuk mencipta pembangunan inovatif yang mesra alam dan menggunakan pembelajaran utama daripada projek pembangunan yang berjaya.
“Sunway Property telah membangunkan lebih 5,000 ekar pembangunan bersepadu di seluruh negara termasuk Sunway City Kuala Lumpur, Sunway City Ipoh, Sunway City Iskandar Puteri, dan Sunway Velocity,” katanya. – UTUSAN










