Skim jaminan portfolio OCBC Bank, CGC cecah lebih RM1 bilion

Skim jaminan portfolio OCBC Bank, CGC cecah lebih RM1 bilion

MAJLIS pemeteraian kerjasama antara OCBC Bank dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad untuk menyediakan kemudahan jaminan portfolio dalam usaha mengukuhkan pembiayaan kepada PMKS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk menyediakan kemudahan Jaminan Portfolio atau Portfolio Guarantee (PG) sehingga RM100 juta dalam usaha mengukuhkan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kemudahan itu boleh didapati dalam tranche perbankan konvensional dan Islam. Menerusi pembiayaan ini, Skim PG OCBC Malaysia bersama CGC telah mencecah angka RM1 bilion.

Menurut OCBC Bank, tranche PG semasa membabitkan RM50 juta dalam bentuk kemudahan konvensional dan RM50 juta lagi menerusi kemudahan perbankan Islam.

Katanya, kemudahan perbankan Islam akan disediakan menerusi anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank, iaitu OCBC Al-Amin.

“Malah buat julung kalinya, tranche akan disediakan kepada PKS secara digital menerusi platform digital OCBC Bank dan OCBC Al-Amin, iaitu BizFinancing dan BizFinancing-i.

“Skim PG ini dijamin sebahagiannya oleh CGC, pada nilai 70 peratus daripada jumlah kemudahan, untuk tempoh sehingga 5 tahun. Jumlah pembiayaan yang disediakan kepada Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah sehingga RM600,000 tanpa memerlukan cagaran,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd Ishak berkata, tranche PG ini melibatkan kemudahan konvensional RM50 juta dan kemudahan Islam RM50 juta yang sudah pasti membawa manfaat kepada para pelanggan PMKS OCBC Bank dan OCBC Al-Amin.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen pula berkata, OCBC Bank sentiasa berusaha memberikan tahap kemudahan lebih tinggi kepada PMKS untuk memenuhi keperluan modal kerja mereka.

“Sebagai Bank yang berkembang maju dengan tawaran digital, kami sukacita untuk melancarkan PG digital perintis ini bagi PMKS.

“Mereka kini boleh mendapatkan pilihan pembiayaan dengan mudah untuk memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan jangka pendek hingga jangka panjang tanpa perlu mengunjungi cawangan. Kami yakin dengan sambutan yang bakal diterima dan akan mempertimbangkan lebih banyak tawaran digital pada masa depan.

“Kami tetap komited untuk memainkan peranan aktif bagi menyokong rancangan negara kita untuk menjadikan PMKS sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×