PETALING JAYA: Makmal Pendidikan Perusahaan Sosial (SEEd.Lab) telah memilih 50 usahawan sosial yang bercita-cita tinggi untuk kohort ketiganya dengan lima rakan kongsi baharu di seluruh pelbagai sektor.
SEEd.Lab adalah program inkubasi hujung ke hujung 12 hingga 18 bulan pertama negara yang dijana oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Tata Consultancy Services (TCS).
Petronas dalam kenyataan bersamanya berkata, rakan kongsi baharu tersebut adalah Tenaga Nasional Berhad, AmBank Group, Taylor’s University, Manggis Group, Korn Ferry dan Malaysian Humanitarian Foundation.
Katanya, mereka akan menyertai rakan kongsi sedia ada iaitu Digital Impact Square, Zaid Ibrahim & Co dan Amazon Web Services.
Ini untuk menyediakan bimbingan, pandangan industri dan akses kepada ekosistem mereka, membolehkan perusahaan sosial SEEd.Lab menangani secara berkesan cabaran bidang sosial tertentu, membangunkan dan meningkatkan penyelesaian perniagaan yang berkesan.
Ketua dan Pengurus Program SEEd.Lab, Aidonna Jun Ayub berkata, pihaknya telah mendapat manfaat daripada akses kepada sumber Petronas dan TCS untuk mewujudkan perusahaan sosial yang memberi impak dalam dua kohort sebelumnya.
“Sementara kami terus memanfaatkan perkongsian ini, kami juga sangat teruja dengan rakan kongsi baharu yang akan membawa banyak kepakaran.
“Ini akan meningkatkan kapasiti kami untuk menawarkan bimbingan subjek yang lebih mendalam serta sokongan yang pelbagai daripada pelbagai sektor kepada perusahaan sosial untuk memacu impak sosial yang mampan secara berkesan kepada penerima mereka,” katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah berkata, SEEd.Lab dimulakan untuk memupuk usahawan muda yang bersemangat dan terus mencipta kesan riak perubahan positif kepada masyarakat.
“Kami berbangga dengan apa yang telah kami capai dalam dua kohort yang lalu dan kami gembira apabila SEEd.Lab disertai oleh lebih ramai rakan yang berfikiran sama yang bercita-cita yang sama.
“Rakan kongsi ini adalah pemimpin dalam bidang masing-masing dan semasa kami bergabung tenaga, kami berharap untuk membuka lebih banyak kemungkinan dalam membina masa depan yang mampan bersama-sama,” ujarnya.
Sejak 2020, Petronas dan TCS telah menyumbangkan bimbingan perniagaan dan kepimpinan, kepakaran teknikal untuk pembangunan penyelesaian, pembiayaan untuk penyelesaian dan ujian pasaran untuk mempercepatkan perjalanan perusahaan sosial. – UTUSAN










