Rumah mahal, pinggir bandar jadi pilihan

Rumah mahal, pinggir bandar jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOS sara hidup yang tinggi dan sewa rumah yang mahal men­dorong seorang bapa berulang-alik sejauh 78 kilometer dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur setiap hari.

Kazmirshafiq Kamarudzaman, 35, yang bekerja sebagai pembantu operasi, menunggang motosikal dari rumah seawal pukul 5.30 pagi dan akan berhenti menunaikan solat su­buh di hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum meneruskan perjalanan ke pejabatnya.

Bila tiba waktu pulang pula, dia perlu menempuh perjalan kira-kira sejam dan kadang-kala hanya sampai di rumah pada pukul 9.30 malam jika terpaksa bekerja lebih masa.

Lelaki yang berasal dari Se­nawang itu berkata, begitulah rutinnya sejak mula bekerja di ibu kota 15 tahun lalu.

KAZMIRSHAFIQ KAMARUDZAMAN

Menurut bapa kepada empat orang anak tersebut, tinggal di rumah keluarganya lebih jimat berbanding membawa isteri dan anak-anaknya menyewa di kota raya yang semestinya memakan modal yang besar.

“Masa mula-mula bekerja dulu pernah juga menyewa di Kuala Lumpur, tetapi selama enam bulan sahaja kerana tidak mampu dan ada komitmen lain.

“Selepas itu, saya pilih untuk berulang sahaja. Kos hidup di Kuala Lumpur agak tinggi dan untuk menyewa rumah paling murah pun dalam RM800, sedangkan gaji saya kecil sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kazmirshafiq berkata, jika mahu membeli rumah pada masa depan, dia akan memilih membeli rumah di sekitar Seremban kerana harga yang lebih rendah berbanding di ibu negara.

“Walaupun saya bekerja di Kuala Lumpur, tapi kos untuk beli rumah di sana adalah lebih tinggi. Selain itu, saya perlu menanggung perbelanjaan dan komitmen yang lain.

“Ada kawan saya yang mana suami isteri mempunyai gaji keseluruhan RM6,000 dan tinggal di Kuala Lumpur tetapi masih tidak cukup dengan per­belanjaan. Mungkin gaji perlu dinaikkan lagi dalam keadaan kos sara hidup yang makin tinggi ketika ini,” ujarnya.

NURUL HIDAYAH BAHAUDIN

Sementara itu, kakitangan swasta, Nurul Hidayah Bahaudin, 32, berkata, harga rumah yang lebih murah mendorongnya memilih tinggal di Kajang, Selangor walaupun bekerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjalanan ke pejabat mengambil masa kira-kira 45 minit jika keadaan trafik yang baik, namun boleh mengambil masa sehingga tiga jam jika aliran trafik sesak pada waktu puncak.

“Kalau dari segi kos perjalanan, saya tidak pernah kira tetapi pastinya lebih berbaloi daripada tinggal di tengah bandar kerana harga rumah yang lebih tinggi.

“Bukan saya sahaja yang pilih untuk menyewa di tempat di Kajang ini. Ada juga kawan dan kakak yang tinggal di sini kerana harga rumah yang lebih murah.

“Sebagai contoh, rumah sewa teres dua tingkat di sini tidak sampai RM1,000 sebulan. Harga tersebut memang tak boleh dapat di dalam Kuala Lumpur untuk rumah seperti itu,” ujarnya.

Tambahnya, bagi membolehkan lebih ramai dapat tinggal berdekatan tempat kerja, rumah di Kuala Lumpur perlu ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.

“Saya harap rumah di kawasan bandar boleh dijual pada harga di bawah RM300,000 supaya lebih ramai dapat memiliki rumah tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Diana Kamil, 37, berkata, dia memilih untuk tinggal di Senawang, Seremban walaupun bekerja di Kuala Lumpur kerana kos hidup yang tinggi ibu negara.

Menurutnya, dia yang berulang-alik hampir setiap hari sejak 13 tahun dulu juga memilih untuk tinggal di Senawang bagi menjaga orang tuanya.

“Setiap hari saya akan menaiki bas di Terminal One Se­remban sekitar pukul 6 pagi dan perjalanan mengambil masa antara satu jam 30 minit hingga ke dua jam.

“Ramai juga kawan-kawan yang berulang atas faktor ke­selesaan rumah dan persekitaran yang lebih selesa berban­ding tinggal di Kuala Lumpur yang sangat padat,” tambah­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN