PTP menang anugerah HRD Corp 2023

PTP menang anugerah HRD Corp 2023

MARCO Neelsen (dua, kiri) menerima anugerah HRD Corp 2023 yang dimenangi oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama antara MMC Group dan Terminal APM berpangkalan di Hague, memenangi Anugerah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) 2023 yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah tersebut dimenangi di bawah kategori Kecemerla­ngan Dalam Pembangunan Sis­wazah (Pekerja Masa Depan) dan Kecemerlangan Dalam Latihan Pendidi­kan Vokasional Tek­nikal (TVET).

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, PTP berbangga dan berbesar hati kerana diiktiraf oleh HRD atas komitmennya terhadap pembangunan modal insan.

Katanya, ini mengiktiraf semua usaha yang syarikat lakukan dalam membangunkan modal insan, mewujudkan persekitaran kerja yang betul dan membina bakat masa depan bukan sahaja untuk PTP tetapi untuk industri pelabuhan, terutamanya di Malaysia.

“PTP akan terus memperkasakan tenaga kerja dan memastikan persekitaran yang menggalak­kan orang ramai untuk belajar dan dibangunkan secara berte­rusan dengan soko­ngan daripada HRD Corp.

“Ini memandangkan Malaysia berusaha untuk mempunyai 35 peratus tenaga kerjanya di bawah kategori berkemahiran tinggi menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada ranca­ngannya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi,” kata­nya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, sebagai hab pemindahan kapal terkemuka di Malaysia dan antara pelabuhan tersibuk di dunia, PTP berbangga dalam menerajui laluan kemampanan untuk pelabuhan.

“Di PTP, kami melihat kakitangan kami sebagai aset berharga dan kami terus melabur dalam pelbagai program sumber manusia yang inovatif dan progresif.

“Ini termasuk dalam pengambilan, kepelbagaian dan keterangkuman, kesejahteraan, ganjaran dan pengiktirafan untuk menarik serta mengekalkan bakat tempatan dan antarabangsa yang terkemuka,” ujarnya.

Tambahnya, syarikat juga memupuk budaya korporat yang mempertimbangkan kemampanan dan kebaikan sosial dalam membuat keputusan strategik kami.

Jelasnya, ini seterusnya telah menghasilkan pelbagai peluang untuk memupuk penglibatan pekerja dalam perkara penting yang membawa perubahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN