KUALA LUMPUR: Plytec Holding Berhad (Plytec) memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga pembukaan sebanyak 36 sen sesaham, hanya satu sen atau 2.86 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 35 sen.
Pada harga tersebut, Plytec mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM218.16 juta.
Syarikat berjaya mengumpul sejumlah RM37.1 juta melalui IPO berkenaan dengan penawaran sekitar 106 juta saham baharu pada harga 35 sen sesaham.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM9.0 juta akan diperuntukan untuk pembayaran balik pinjaman, manakala RM8.0 juta untuk perbelanjaan modal, dan RM7.8 juta untuk pembinaan kilang dan kuarters buruh di Tanah Olak Lempit.
Selain itu, sebanyak RM6.3 juta diperuntukan untuk modal kerja, manakala RM4.0 juta untuk perbelanjaan penyenaraian, dan RM2.0 juta untuk pembelian sistem perisian dan perkakasan.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Plytech, Yang Kian Lock berkata, penyenaraian merupakan kemajuan penting kepada Syarikat dalam usaha menjadi pemimpin dalam industri kejuruteraan pembinaan.
“Syarikat yakin dengan kemampuannya dan bersemangat untuk terus berkembang, memberikan sumbangan kepada industri pembinaan melalui kepakaran yang dimiliki”, katanya kepada media selepas Penyenaraian Plytech Holding Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Plytech, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Pengarah Strategi Korporat Bursa Malaysia Berhad; Aina Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Bank Berhad, Rohaizad Ismail.
Tambah Kian Lock, Plytech mempunyai beberapa perancangan masa hadapan antaranya, mengembangkan segmen penyelesaian Kejuruteraan Kaedah Pembinaan (CME), meneroka pembuatan peralatan kerja bagi meningkatkan penjualan dan penyewaan peralatan kerja, pembangunan kemudahan di Tanah Olak Lempit dan melabur dalam operasi perisian serta pembangunan berterusan bagi penyelesaian reka bentuk digital dan perkhidmatan jurutera (DDE).
Jelasnya, PLYTECH merancang untuk membuat pelaburan dalam perisian digital bagi memastikan bahwa semua segmen disepadukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat akan mengembangkan lagi operasi di luar negara selepas Vietnam dan Indonesia.
“Filipina sudah bersedia untuk Plytech dan kami memilih untuk menembusi pasaran di sana. Selain itu, Plytech akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN










