PETALING JAYA: Perodua menaikkan sasaran pengeluarannya tahun ini kepada 338,000 unit dan menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 325,000 unit kenderaan menjelang akhir tahun ini, didorong bekalan komponen yang bertambah baik daripada vendor automotif serta permintaan yang sihat bagi model keluarannya.
Pada Januari 2023, syarikat mengumumkan sasaran pengeluaran dan jualan masing-masing sebanyak 330,000 unit dan 314,000 kenderaan berdasarkan momentum jualan yang diterima berhubung lanjutan penghantaran bagi kenderaan yang mendapat pengecualian cukai jualan pada 2021 di samping permintaan yang baik terhadap model baharunya, Perodua Axia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, bulan ini menyaksikan Perodua mencatatkan prestasi pengeluaran dan jualan tertinggi, masing-masing 35,111 unit dan 33,836 unit.
“Peningkatan dalam pengeluaran dapat dicapai dengan sumber yang tersedia dalam ekosistem automotif semasa dan perkembangan itu memberi petunjuk kepada potensi pertumbuhan bagi kedua-dua sisi permintaan dan bekalan dalam industri.
“Walaupun terdapat beberapa isu seperti ketersediaan bekalan cip semikonduktor dalam jangka panjang masih berlaku, namun kami sudah mempunyai bekalan yang cukup. Justeru, prestasi suku keempat Perodua dijangka menjadi yang terbaik dalam sejarah,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai rujukan, Perodua menghasilkan 22,974 unit kenderaan pada Oktober 2022 dan mendaftarkan 24,849 unit kereta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi asas tahun ke tahun, Perodua mengeluarkan 280,452 unit dalam tempoh Januari hingga Oktober 2022, dengan kenaikan sebanyak 22 peratus daripada 229,811 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi aspek jualan dari Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 267,063 unit telah didaftarkan, dengan kenaikan sebanyak 20.2 peratus daripada 222,203 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, jika momentum ini berterusan, industri automotif berpeluang untuk terus berkembang pada 2024 dan ia akan membantu melonjakkan sentimen pengguna walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi tahun hadapan.
“Pada masa ini, fokus kami adalah untuk memaksimumkan potensi syarikat dalam aspek pengeluaran dan jualan bagi membolehkan para pelanggan kami menerima kenderaan Perodua mereka dengan lebih pantas,” tambahnya. – UTUSAN










