PETALING JAYA: Lebih 4.078 juta serangan siber direkodkan ke atas pemain (gamer) bagi tempoh Julai 2022 hingga Julai 2023, menurut syarikat keselamatan siber, Kaspersky.
Menurut Kaspersky, penjenayah siber cuba mengakses data peribadi, melancarkan pelbagai serangan termasuk melemahkan web, Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS), perlombongan mata wang kripto, Trojan atau pancingan data (phishing) yang kompleks.
Serangan DDoS ialah serangan di mana pelbagai sistem komputer menyerang sasaran, seperti pelayan, laman web atau sumber rangkaian lain, menyebabkan penafian perkhidmatan untuk pengguna sumber yang disasarkan.
Kaspersky berkata, bagi tempoh berkenaan penjenayah siber cuba memuat turun 30,684 fail unik yang dikategorikan sebagai permainan popular, mod, `cheats’ dan perisian lain yang berkaitan dengan permainan (game).
“Insiden ini menjejaskan 192,456 pengguna di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.
Kaspersky berkata, penjenayah menggunakan pelbagai aplikasi yang dilabelkan sebagai bukan virus namun boleh mendatangkan ancaman serius, untuk menceroboh data pengguna seperti pemuat turun (Downloader), Adware dan Trojan.
Katanya, penjenayah paling banyak menggunakan Downloader sebanyak 89.70 peratus, diikuti Adware (5.25 peratus) dan Trojan (2.39 peratus)- ketiga-tiganya patut diberi perhatian serius oleh pemain.
Antara permainan yang kerap dijadikan sasaran oleh penjenayah siber ialah Minecraft sebanyak 70.29 peratus, diikuti Roblox (20.37 peratus), Counter-Strike (4.78 peratus), PUBG (2.85 peratus), Hogwarts Legacy (0.60 peratus), DOTA 2 (0.45 peratus) dan League of Legends (0.31 peratus).
Jelasnya, Laporan Newzoo 2023 menunjukkan terdapat lebih 3 bilion pemain (gamer) atau hampir 40 peratus daripada penduduk dunia yang terdedah kepada ancaman penjenayah siber.
“Antara 1 Julai 2022 dan 1 Julai 2023, Kaspersky merekodkan 436,786 percubaan untuk menjangkiti peranti mudah alih, yang memberi kesan kepada 84,539 pengguna,” kata syarikat itu.
Laporan Pasaran Pemain Global Newzoo 2023 menyatakan, terdapat kira-kira 3.38 bilion pemain (gamer) di seluruh dunia dengan pendapatan mencecah AS$187.7 bilion (RM874.12 bilion). Antara peneraju dalam industri itu ialah Tencent, Sony dan Apple. – UTUSAN










