Penganalisis jangka KDNK suku ketiga 2023 lebih rendah

Penganalisis jangka KDNK suku ketiga 2023 lebih rendah

KRISIS global dijangka memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar Ekonomi menjangkakan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga tahun ini (3Q 2023) lebih rendah berikutan konflik di Gaza dan Ukraine.

Bercakap kepada Utusan Malaysia,Profesor di Fakulti Ekonomi Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, pertumbuhan keseluruhan ekonomi bagaimanapun lebih baik dan dijangka mencapai empat hingga lima peratus.

“Pertumbuhan KDNK pada tahun ini dijangka antara empat hingga lima peratus selain banyak bergantung kepada pertumbuhan ekonomi di negara China dan ASEAN.

“Bagaimanapun, permintaan domestik masih kukuh untuk mencapai KDNK sekurang-kurangnya empat peratus tahun ini,” katanya ketika dihubungi.

Unjuran beliau itu selari dengan ramalan beberapa penganalisis kelmarin yang menjangkakan KDNK 3Q 2023 lebih rendah antara 2.6 hingga 2.8 peratus berikutan ekonomi yang lebih lemah.

Menurut Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, keadaan itu turut disebabkan eksport yang turun lebih daripada 12 peratus, sama seperti prestasi import.

Jangkaan itu lebih rendah berbanding anggaran awal KDNK bagi suku ketiga 2023 yang dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3 peratus, yang dibuat oleh Jabatan Perangkan Malaysia (DOSM) sebelum ini.

Anggaran itu bagaimanapun lebih tinggi berbanding KDNK suku kedua sebanyak 2.9 peratus.

Mustafa menjelaskan, KDNK 3Q tidak tinggi seperti dijangka disebabkan negara China masih belum pulih daripada Covid-19.

“Bagaimanapun, dalam Q4 saya melihat negara China sudah mulai pulih dan permintaan semakin naik.

“Selain itu, inflasi Malaysia masih rendah untuk barangan asas termasuk barangan lain yang semakin menaik. Di negara Amerika Syarikat (AS) dan China juga perlu menyelesaikan pelbagai isu perdagangan di antara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula menjangkakan KDNK Q3 berkembang setakat 3.0 peratus, tinggi sedikit daripada suku kedua.

Walau bagaimanapun katanya, peningkatan masih selari, sejajar dan berada di atas landasan unjuran kerajaan iaitu sekitar 4 hingga 5 peratus (untuk KDNK) secara keseluruhan.

“Ekonomi Malaysia terdedah kepada cabaran ekonomi dunia khususnya siri peperangan yang berlaku ketika ini. Namun, kekuatan ekonomi domestik menyumbang kepada perkembangan dan pengukuhan ekonomi, secara langsung mempengaruhi KDNK suku ketiga,” katanya.

Selain itu jelas beliau, turun naik ringgit berbanding beberapa mata wang utama dunia khususnya dolar AS turut merencatkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini kerana, kejatuhan ringgit akan mempengaruhi nilai dagangan Malaysia. Justeru, langkah yang konsisten dan padu perlu dilaksanakan oleh kerajaan dengan membawa masuk pelaburan asing agar rangsangan ekonomi dapat dilipat gandakan supaya KDNK negara mampu mencecah 5 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×