PERBANDARAN yang terancang pada harga yang lebih berpatutan di kawasan pinggir bandar atau di bandar-bandar baharu menjadi pendorong kepada lebih ramai warga kota untuk tidak kisah tinggal lebih jauh dari tempat kerja.
Projek perbandaran seperti di Semenyih atau Seremban, bukan sahaja dibina oleh pemaju ternama, malah menyajikan kemudahan dan reka bentuk rumah yang cantik merupakan strategi bagi menarik pembeli yang bekerja di Lembah Klang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, dengan infrastruktur yang baik serta hubungan jalan raya yang bertambah lancar, maka isu ulang alik dari rumah ke tempat kerja tidak lagi menjadi isu besar.
Katanya, ini asalkan pembeli dapat tinggal di rumah atas tanah atau dapat menyewa dengan kadar yang rendah atau pada kadar yang sama dengan menyewa di kota raya, tetapi dapat mendiami rumah yang lebih selesa atau lebih luas.
“Seperti yang kita tahu, tanah-tanah yang terdapat di Lembah Klang terutamanya Kuala Lumpur semakin mahal dan semakin berkurang.
“Oleh itu, tanah-tanah bersaiz kecil telah diberi kebenaran untuk pembinaan apartmen dan kondominium untuk menampung permintaan rumah kediaman di kota raya. Ini bukan sahaja isu di Kuala Lumpur, tetapi isu yang sama di kebanyakan kota raya moden.
“Dalam masa yang sama, masih terdapat tanah-tanah yang luas yang boleh dimajukan oleh pemaju yang mempunyai keupayaan dan kedudukan kewangan yang kukuh. Biasanya, tanah ini dahulunya tanah pertanian atau estet,” katanya.
Beliau berkata, pembeli boleh mendapatkan rumah pada harga yang sama atau dengan tambahan sedikit bajet untuk membeli hartanah rumah teres dan rumah bandar selain rumah semi D atau banglo, bagi yang lebih berkemampuan.
Sama ada berbaloi atau tidak untuk memiliki kediaman yang lebih jauh dari tempat kerja, beliau berkata, perkara tersebut adalah subjektif kepada keperluan individu atau keluarga masing-masing.
“Jika mereka yang memilih untuk tinggal jauh dari tempat kerja, mengira kos perjalanan, kosnya mungkin lebih kurang sahaja.
“Ada yang memilih untuk menaiki motosikal sebagai langkah menjimatkan kos dan masa perjalanan, asalkan keluarga lebih selesa mendiami rumah yang lebih luas, di atas tanah dan berdekatan dengan sekolah, masjid, pasar raya dan lain-lain kemudahan.
“Dengan harga sekitar RM270,000 hingga RM300,000, apartmen baharu di Semenyih juga boleh dimiliki malah dilengkapi dengan kemudahan kolam renang dan gimnasium. Ini memberi laluan kepada pembeli untuk turut menikmati cara hidup yang lebih ceria dengan harga yang lebih rendah berbanding di kota raya,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sewa rumah yang murah, harga rumah yang berpatutan serta rumah yang lebih besar dan selesa menjadi menyebabkan lebih ramai memilih untuk tinggal di pinggir bandar.
Jelasnya, pembangunan infrastruktur termasuk kemudahan komuter yang menghubungkan pinggir bandar ke ibu kota memudahkan perjalanan mereka ke tempat kerja.
“Ada yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur juga mungkin mengambil ,asa yang sama untuk sampai ke rumah walau jarak rumah dan pejabat tidak sampai 20 kilometer disebabkan kesesakan jalan raya. Ini seterusnya boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi.
“Selain kos sewa yang mahal, bandar besar juga agak sibuk dan terkejar-kejar. Tidak seperti bandar kecil yang mana kehidupan di bandar lebih aman dan kurang tekanan.
“Kerajaan patut mengadakan banyak lagi rumah mampu milik dan juga menyediakan pengangkutan awam yang lebih efisien dan senang diakses,” tambahnya. – UTUSAN










