PETALING JAYA: Pecca Group Berhad (Pecca) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM13.01 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1Q TK2024) berakhir 30 September 2023, meningkat 56 peratus daripada RM8.35 juta tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan Kumpulan meningkat 17 peratus tahun ke tahun kepada RM64.05 juta dariapda RM54.86 juta tahun sebelumnya.
Menurut Pecca, pada suku dilaporkan, pendapatan Kumpulan didorong oleh permintaan untuk upholsteri kulit dan jahitan sarung kerusi fabrik kereta.
Katanya, subsegmen itu masing-masing menyumbang kira-kira 90 peratus dan 5 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan Kumpulan.
“Segmen Pengeluar Peralatan Asli (OEM) sarung tempat duduk kereta menyumbang kira-kira 88 peratus daripada pendapatan keseluruhan sarung tempat duduk kereta, sementara segmen pengeluar alat ganti (REM) dan Pemeriksaan Pra Penghantaran (PDI) masing-masing menyumbang kira-kira 3 peratus dan 9 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Pecca berkata, margin keuntungan bersih Pecca bagi suku yang dikaji ialah 20.3 peratus, peningkatan 34 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.
“Keuntungan Pecca bertambah baik disebabkan oleh pengurangan kos operasi, kerana kemudahan pengeluaran Kumpulan memperoleh manfaat daripada skala ekonomi yang lebih baik,” katanya.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, Kumpulan sangat berbesar hati untuk memulakan TK2024 dengan satu lagi keputusan kewangan yang kukuh, dan ingin menegaskan komitmennya untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Katanya, ia merupakan suku kelima berturut-turut di mana Kumpulan telah mencatatkan rekod keuntungan bersih yang baharu.
“Ketika kami sibuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk upholsteri automotif berkualiti tinggi, tumpuan kami pada kecekapan operasi telah membolehkan kami meraih ganjaran daripada skala ekonomi.
“Kami tetap berdedikasi untuk mengekalkan trajektori positif ini dan menambah nilai kepada pemegang kepentingan kami.
“Kami juga sedang gigih berusaha untuk memperluaskan pangkalan pelanggan tempatan dan luar negara dalam segmen REM serta menembusi pasaran baru di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Singapura, dan Eropah. Tahun ini, kami telah bertemu dengan pelanggan REM sedia ada dan berpotensi dari seluruh dunia. Kami juga mengambil bahagian dalam Pameran SEMA, salah satu pameran automotif terbesar di Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, pada TK2024, Kumpulan akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan pasaran baharu dan mengubah Kumpulan menjadi ekosistem pertumbuhan berbilang enjin.
“Kedudukan tunai kami yang kukuh, peningkatan kepada RM112.60 juta pada 1Q TK2024, akan memberi kami kuasa untuk memangkin pertumbuhan kami,” katanya. – UTUSAN










