KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dengan kerjasama Ant Group melancarkan sistem pembayaran digital rentas sempadan yang boleh digunakan oleh peniaga global dengan sistem AliPay+.
Melalui QR DuitNow, pelancong dari lapan negara dan rantau yang menjadi rakan kongsi Alipay+ boleh menggunakan paynet di Malaysia.
Antaranya, Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong SAR), HelloMoney oleh AUB (Filipina), Hipay (Mongolia), MPay (Macau SAR), Naver Pay (Jepun), Toss Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paynet, Farhan Ahmad berkata, Kumpulan melancarkan kerjasama dengan AliPay+ yang membolehkan pembayaran rentas sempadan untuk pelancong dari China dan lapan negara lain.
Katanya, ia membolehkan mereka memanfaatkan sistem pembayaran QR Kumpulan di 1.8 juta lokasi pedagang di Malaysia.
“Inisiatif ini bertujuan memberi manfaat kepada peniaga kecil dengan memudahkan jualan kepada pelancong dan berkongsi warisan Malaysia yang kaya dengan mudah.
“Melalui kerjasama ini, ia memudahkan perjalanan bagi rakyat Malaysia ke luar negara dan menghapuskan keperluan untuk menukar wang serta meningkatkan keselamatan dengan menyediakan penyelesaian pembayaran yang lancar, ” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Farhan, kerjasama itu tepat pada masanya kerana industri pelancongan Malaysia sedang mengalami pertumbuhan stabil, dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 dijangka akan memberikan dorongan tambahan kepada industri berkenaan.
“Secara keseluruhan, pautan-pautan ini akan menghubungkan ekonomi yang menyumbang lebih daripada dua pertiga pertumbuhan KDNK global dan merupakan tempat tinggal kepada lebih daripada 60 peratus penduduk dunia, yang usia median mereka lebih muda daripada purata global.
“Dengan kadar ini, ada potensi untuk melihat integrasi ekonomi ASEAN+3 berlaku lebih cepat daripada yang dijangkakan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Ant Group dan Ketua Perkhidmatan Pembayaran Mudah Alih Rentas Sempadan Alipay+, Douglas Feagin berkata, laporan menunjukkan bahawa pelancongan dan pembayaran rentas sempadan di Asia akan berkembang pesat dalam beberapa tahun akan datang, dengan perbelanjaan purata pengguna hampir dua kali ganda dari 2016 hingga 2025.
“Pertumbuhan ini menunjukkan keperluan untuk menghubungkan peniaga tempatan dengan pelawat antarabangsa melalui pembayaran, pemasaran, dan perkhidmatan digital lain untuk meningkatkan pengalaman pelancong dan memperkuat ekosistem pelancongan tempatan di Malaysia, katanya.
Kerjasama antara PayNet dan Alipay+, yang dikendali oleh Ant Group, juga menyokong pelancongan keluar dengan penerimaan saling-menerima DuitNow QR oleh peniaga global yang mengguna Alipay+ di negara lain, dan ini akan diperkenalkan bermula 2024. – UTUSAN










