KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) melancarkan Makmal Alami Kenderaan Berautonomi MRANTI (MRANTI AV XL) yang merupakan makmal Kenderaan Autonomi (AV) terbesar di negara ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, AV yang merujuk kepada mod pengangkutan yang boleh beroperasi tanpa kawalan manusia, dijangka akan memberikan peluang menarik untuk masa depan mobiliti.
Beliau berkata, pembukaan Makmal Eksperimen MRANTI AV dikenali sebagai MRANTI AV XL, adalah hasil perkongsian dinamik antara MRANTI dan Futurise Sdn. Bhd.
Katanya, makmal itu akan berkhidmat sebagai penggerak di sebalik Sekretariat Laluan Ujian Kenderaan Autonomi Malaysia (MyAV) dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan.
“Usaha ini menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) merangkumi objektif seperti pengwujudan tempat ujian AV dan mempromosikan NxGVs.
“ Selain itu, ia merupakan inisiatif yang dapat meningkatkan kecekapan dan pengurangan gas karbon pada masa hadapan,” katanya berucap merasmikan Makmal Alami Kenderaan Berautonomi di MRANTI Park, Bukit Jalil di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Datuk Wira Dr. Rais Hussin.
MRANTI AV XL merupakan pusat kecemerlangan AV dan Next-Generation Vehicles (NxGVs) dengan tujuan memacu pembangunan, pengujian dan pengkomersialan inovasi teknologi kenderaan berautonomi.
Konsep makmal hasil perbincangan bersama pihak industri, agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan yang cenderung kepada reka bentuk berpaksikan manusia bagi penciptaan bersama.
MRANTI AV XL merangkumi laluan ujian sepanjang 12 kilometer disambung dengan tempat letak kereta bertingkat tertutup, kembar digital (penggabungan ujian maya dan penggunaan fizikal), liputan rangkaian 5G dan infrastruktur untuk AV berkomunikasi dengan pantas.
Jelas Lih Kang, MRANTI AV XL merupakan tempat ujian dan pengesahan teknologi AV yang paling besar di negara ini.
Kata beliau, ia menawarkan AV simulator dengan MRANTI selaku AV-as-a-Service Certification yang menjadi pusat rujukan nasional bagi penggunaan dan pengaplikasian AV tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan.
“Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kita sudah mempunyai AV yang digunakan hari ini seperti monorel Kuala Lumpur (MRT) dan sistem transit laju ringan (LRT) berjalan tanpa pengendali manusia.
“AV telah digunakan di seluruh dunia termasuk bas untuk Sukan Olimpik Tokyo dan hari ini, robotaxis di jalanan California, Amerika Syarikat; Shenzhen, China dan seluruh Jerman dengan cepat serta mendapat permintaan daripada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Rais menjelaskan, bersempena pelancaran MRANTI AV XL, lapan projek penyelidikan AV telah diumumkan bersama rakan strategik MRANTI – Universiti Nottingham Malaysia, NanoMalaysia dan Institut Penyelidikan Tenaga di Universiti Teknologi Nanyang Singapura yang menguruskan Pusat Kecemerlangan Pengujian & Penyelidikan AV (CETRAN).
“MRANTI bekerjasama rapat dengan rakan industri seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii) dan Futurise serta pihak penguatkuasaan lain dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan industri mobiliti ke hadapan.
“Taman MRANTI merupakan taman inovasi 5G pertama di Malaysia yang merangkumi makmal pengujian 5G dan pihak berkepentingan, inovator dan penyelidik-penyelidik di Taman MRANTI dapat memanfaatkan infrastruktur 5G sedia ada untuk meningkatkan kecekapan komunikasi kadar kecepatan data yang lebih tinggi dan latensi yang lebih rendah, ketumpatan sambungan kebolehpercayaan, ketersediaan dan liputan dan ketepatan kedudukan (mobiliti pengguna yang lebih tinggi),” katanya.
Dalam konteks AV XL, keupayaan 5G dapat membawa perubahan yang signifikan dan pelaksanaan AV adalah sangat bergantung pada keupayaan dan kemampuan dalam menghantar data dalam tempoh yang singkat dan tidak terganggu supaya pengoperasian AV dapat dilaksanakan dengan selamat dan cekap.
Dengan menggunakan teknologi 5G, MRANTI AV XL mampu melakukan penyelidikan, pembangunan dan pengujian dengan tahap ketepatan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. – UTUSAN










