PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dinobatkan ‘Pengeluar Tenaga Bebas Terbaik 2023’ pada Enlit Asia 2023 yang berlangsung di Indonesia, baru-baru ini.
Anugerah diterima oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Dalam ucapan beliau, Anwar Syahrin berkata, Malakoff telah mengorak langkah dalam memajukan seruan kerajaan dan global untuk pecutan peralihan tenaga dalam usaha memerangi perubahan iklim.
Beliau berkata, dalam usaha mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE), Malakoff mengamalkan amalan cekap tenaga, pada masa yang sama meneroka sumber tenaga alternatif yang lebih bersih untuk penjanaan kuasa di loji termanya.
“Inisiatif biojisim itu yang berjaya disiapkan pada Disember 2022, telah menjadikan Malakoff sebagai antara juara penggerak bagi projek pemangkin utama kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Usaha ini bertujuan memberi impak yang besar dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sekaligus menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi Syarikat untuk menyediakan tenaga yang lebih bersih dan boleh dipercayai kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malakoff mengejar status sebagai pemain utama dalam penjanaan tenaga global dan penyelesaian alam sekitar.
Sejak 2021, katanya, Malakoff telah menjalani transformasi untuk menyediakan penyelesaian yang berpatutan, inovatif, dan mampan.
Jelasnya, Malakoff sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Malaysia dengan kapasiti penjanaan sebanyak 6,953 MW, kini memiliki 151MW kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu dalam portfolionya, melibatkan projek-projek solar berskala besar, bumbung solar, dan penjanaan kuasa hidro kecil.
“Dalam hal penyelesaian alam sekitar, anak syarikat Malakoff, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), menguruskan 5,748 tan sampah sehari. Dengan kepelbagaian strategik ini, Malakoff memperkuat komitmen terhadap masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










