Kekalkan OPR bantu stabil, kembangkan ekonomi negara

Kekalkan OPR bantu stabil, kembangkan ekonomi negara

LANGKAH BNM mengekalkan OPR disambut baik oleh banyak pihak yang menyifatkan keputusan itu bakal terus memaju pertumbuhan ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.0 peratus membantu menstabil dan mengembangkan ekonomi domestik bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini, menurut penganalisis ekonomi.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagi mencapai sasaran itu, adalah pen­ting untuk pengguna dan peniaga mendapat kestabilan kadar kewangan sama ada pinjaman mahupun simpanan, sekurang-kurangnya hingga mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang dijadual Januari 2024.

Tambahan pula katanya, kadar inflasi sudah berada pada sekitar dua peratus secara purata untuk suku ketiga 2023.

“Kestabilan faktor utama iaitu kewangan yang mempengaruhi perniagaan dan pengguna, amat diperlukan untuk menenangkan situasi semasa dan memudahkan perniagaan membuat unjuran ke akhir tahun dan bersedia untuk 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, kesan turun naik ringgit banyak sangat dipengaruhi oleh faktor luar terutamanya tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) sama ada menaikkan lagi kadar faedah ataupun mengekalkannya untuk waktu yang lebih lama.

“Bon AS untuk 10 tahun berada pada 4.88 peratus dan kadar faedah Fed pulak pada 5.25 peratus, kedua-duanya jauh lebih tinggi dari bon kerajaan Malaysia (MGS) pada 4.2 peratus dan OPR pada tiga peratus.

“Jelas peningkatan OPR naik 0.25 peratus tidak banyak memberikan kesan kepada pengukuhan nilai ringgit semasa,” katanya.

Beliau menjangkakan OPR akan dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga akhir suku kedua 2024, namun bergantung kepada situasi semasa pasaran modal dunia, yang turut dipengaruhi oleh pergolakan geopolitik antarabangsa.

“Apa yang penting adalah BNM berpandangan ekonomi domestik mesti dipacu dalam ekonomi global yang sederhana dan penurunan eksport barangan negara yang berterusan.

“Kecairan tunai di pasaran kewangan domestik dan kadar faedah yang boleh menyokong pertumbuhan ekonomi domestik amat penting,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, OPR dikekalkan kerana kadar inflasi masih rendah pada dua peratus dan kadar pertumbuhan ekonomi domestik masih perlahan.

“Apabila OPR kekal, tiada kesan kepada ringgit. Bagaimanapun, saya menjangkakan kadar OPR pada tahun depan akan turun jika pertumbuhan ekonomi semakin perlahan dan inflasi naik kerana subsidi telah ditarik untuk diesel, ayam dan kemungkinan petroleum RON95,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SEMENTA), Datuk William Ng pula, pengekalan OPR akan membantu PMKS tempatan mengukuhkan perniagaan mereka.

“Dalam keadaan kos perniagaan dan bahan mentah yang masih belum stabil, sebarang kenaikan OPR akan menjejaskan prestasi dan daya saing PMKS. SEMENTA akan mengambil langkah menggalakkan pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan”, katanya.

Pandangan sama disuarakan oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon yang menyambut baik keputusan BNM itu.

“Pengekalan OPR ini dapat membantu PMKS dalam menjaga aliran tunai syarikat”, katanya.

Kelmarin, MPC BNM memutuskan mengekalkan OPR tiga peratus bagi menyokong pertumbuhan berterusan ekonomi negara.

Menurut BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN