Johor ganda KDNK RM260 bilion menjelang 2030

Johor ganda KDNK RM260 bilion menjelang 2030

TAZRINA AHMAD (tengah) mendengar taklimat tentang pembukaan pejabat satelit pertama TalentCorp Zon Selatan di UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor dijangka dapat menggandakan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak dua kali ganda, iaitu berjumlah RM260 bilion menjelang 2030.

Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, Tazrina Ahmad berkata, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2023 akan membantu mencapai matlamat tersebut.

Justeru katanya, bakat-bakat tempatan perlu digilap dan dilatih untuk merebut ribuan peluang pekerjaan yang akan terhasil pada masa depan.

“Johor berjaya merebut tempat teratas dalam aspek pelaburan masuk dengan jumlah RM70.6 bilion tahun lalu, tertinggi di Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Kita jangkakan 12,000 peluang pekerjaan terhasil daripada pelaburan itu.

“Lima sektor pelaburan utama di Johor ketika ini ialah elektrikal dan elektronik, farmaseutikal, kesihatan, minyak dan gas serta pangkalan pusat data.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah meletakkan sasaran dalam bidang strategik baharu, antaranya sains hayat dan teknologi kesihatan, kejuruteraan dan pembuatan maju, ekonomi digital, ekonomi hijau, industri halal, automotif (kenderaan elektrik), aeroangkasa dan pelabuhan serta logistik,” katanya.

Beliau berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah merasmikan Pejabat Satelit TalentCorp Pertama di Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew dan Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat.

Tazrina berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam membekalkan pekerja separa mahir dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan domestik dan asing.

“Antara inisiatif itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan bagi menyelaras dan mengintegrasi jabatan dan agensi untuk menambah peluang pekerjaan dan menangani isu pembangunan modal insan di Johor.

“Sebanyak RM5.2 juta telah diperuntuk bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran Johor (Pro Mahir) untuk memperkasakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran berdasarkan bidang kepakaran yang berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×