Jamie ganti Sulaiman sebagai CEO AmBank Group

Jamie ganti Sulaiman sebagai CEO AmBank Group

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AMMB Holdings Berhad melantik Ling Fou-Tsong @ Jamie Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif AmBank (M) Berhad, menggantikan Datuk Sulaiman Mohd Tahir yang bersara berkuat kuasa 23 November 2023.

Menurut AMMB Holdings, Jamie, 55, adalah seorang akauntan bertauliah, membawa banyak pengalaman dan rekod prestasi yang baik.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dari 2017, dengan menguruskan, menyelia strategi dan pelaksanaan kewangan Kumpulan.

“Pengalaman Jamie yang mendalam meliputi peranan penting yang dipegang dalam perbendaharaan, kewangan, pengurusan risiko dan jualan di institusi perbankan antarabangsa.

“Portfolio kerjayanya yang luas merentasi perbankan korporat, pelaburan dan runcit, perbendaharaan, pengurusan risiko dan pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah AMMB Holdings, sepanjang 17 tahun ini, Jamie telah memegang peranan penting  di Malaysia, United Kingdom dan Asia Timur. Antaranya, Ketua Pegawai Kewangan Serantau Standard Chartered Bank untuk Greater China dan Asia Timur meliputi Hong Kong, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun.

“Jamie juga merupakan ahli lembaga Standard Chartered (Hong Kong) Limited dan Hong Kong Note Printing Limited.

“Lembaga Pengarah percaya pengalaman luas Jamie akan mengukuhkan lagi kedudukan AmBank dalam industri dan melonjakkan bank ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam kenyataan berasingan, Kumpulan perbankan itu berkata, Sulaiman mencapai umur persaraan syarikat pada 60 tahun, Januari awal tahun lalu setelah menerajui Kumpulan selama lapan tahun.

Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya mengemudi Kumpulan melalui pelbagai yang tempoh  mencabar.

Pengerusi AMMB Holdings, Tan Sri Md. Nor Yusof berkata, AMMB Holdings dan anak syarikatnya merakamkan penghargaan atas sumbangan Sulaiman dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha seterusnya.

“Saya sangat bertuah mengenali Sulaiman sejak kali pertama beliau memulakan kerjaya perbankannya di Bank of Commerce pada 1987.

“Saya boleh membuktikan pengalaman beliau yang luas selama lebih 35 tahun dan yang memuncak dalam menerajui AmBank Group. Ini sudah tentu nilai penting yang akan dibawanya ke mana sahaja beliau menawarkan perkhidmatan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN