Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan TikTok menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengekal dan meningkatkan pematuhan perundangan harta intelek dalam kalangan usahawan aktif dalam TikTok Shop.
Kerjasama itu mencerminkan usaha MyIPO dan TikTok bagi memastikan bahawa dasar dan polisi penguatkuasaan harta intelek di platform TikTok selaras dengan akta harta intelek di negara ini.
Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain berkata, kerjasama memfokuskan kepada cap dagangan (trademark) dan hak cipta (copyright) bagi membolehkan peniaga TikTok mempunyai hak eksklusif produk mereka.
Beliau berkata, sehingga September lalu, sebanyak 15, 417 permohonan bagi empat jenis komponen harta intelek iaitu cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, dan petunjuk geografi telah direkodkan.
“Bagi pendaftaran jenama tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM950 manakala, pendaftaran hak cipta RM200 bagi tempoh 50 tahun.
“Kami melihat trend berniaga dalam TikTok Shop semakin meningkat, jadi kami percaya mereka (peniaga) akan memanfaatkan kerjasama yang dilaksanakan ini dan mendaftar demi kepentingan harta intelek mereka,” katanya kepada pemberita selepas
Majlis MoU antara MyIPO dan TikTok di Menara MyIPO, sekat sini, semalam.
MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin dan Ketua Hak Harta Intelek, Asia Tenggara TikTok, Simon Zhou.
Sehingga tahun ini, terdapat 50,100 pendaftaran jenama dan hak cipta melibatkan peniaga.
Mohd. Zuhan berkata, kerjasama itu penting bagi mempromosi, menjalankan latihan, penyebaran pengetahuan dan maklumat tentang harta intelek kepada komuniti Tiktok terutama usahawan yang aktif di TikTok Shop.
Menurutnya, dianggarkan terdapat lebih satu juta usahawan atau penjual di platform berkenaan dengan 98 peratus adalah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
Dalam pada itu, TikTok memperkenalkan Pusat Perlindungan Harta Intelek (IPPC) iaitu platform khas untuk pemilik harta intelek membuat aduan terus kepada TikTok berhubung pelanggaran harta intelek oleh mana-mana penjual di TikTok Shop.
Sementara itu, Simon berharap kerjasama tersebut membolehkan peniaga TikTok dapat menjaga harta hak intelek produk mereka daripada digunakan oleh pihak lain.
“Diharap peniaga dapat mengambil peluang mendaftar harta intelek bagi mengelak ia tidak diambil atau dicuri oleh peniaga lain,” katanya. – UTUSAN










