
Perlumbaan kejohanan motosikal grand prix dunia baru sahaja tamat pusingan ketiga terakhirnya di Litar Antarabangsa Sepang dua minggu lalu. Begitu pun, kesan daripada kejohanan itu masih dirasai terutama oleh peminat-peminat tegarnya beserta jenama motosikal pilihan masing-masing.
Satu daripada jenama tersebut adalah APRILIA. Sungguhpun belum lagi menjuarai kategori terulung MotoGP, namun jenama Aprilia sebenarnya sangat hebat ketika zaman dua lejang dahulu, dan nama-nama seperti Valentino Rossi, Max Biaggi, Tetsuya Harada, adalah antara pelumba-pelumba yang pernah mencapai gelaran juara dengan menunggang jentera Aprilia ketika itu.
Kegemilangan Aprilia kini dilihat telah mula kembali dalam lanskap permotoran tempatan. Ini mungkin disebabkan Aprilia Malaysia telah mula memasarkan barisan model-model daripada serendah 200cc, 660cc sehinggalah ke 1100cc. Berdasarkan sambutan cemerlang peminat-peminat dan pengguna Aprilia tempatan, Aprilia Malaysia di bawah pengurusan Didi Group, kini merancang untuk meningkatkan aktiviti tahun hadapan bermula seawal ujian ‘musim sejuk’ yang bakal diadakan secara rasmi di litar Sepang.
Untuk memilikki jentera Aprilia yang boleh dikatakan rata-ratanya berkapasiti kuasa yang tinggi, mungkin ada yang masih belum lagi berjaya memilikinya. Namun, Aprilia tidak melupakan peminat-peminatnya yang mungkin masih muda atau belum berkeinginan untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam masa terdekat ini. Maka dengan itu, mereka mengeluarkan sebuah REPLIKA rasmi jentera perlumbaan Motogp mereka ‘melalui’ skuter SRGT yang telah pun dilancarkan di Malaysia sekitar tahun lalu.

REPLICA PERLUMBAAN DALAM VERSI SKUTER
SRGT Replica ini didatangkan dengan skim warna pasukan perlumbaan Aprilia Motogp yang ditunggang oleh dua pelumba hebat mereka iaitu Aliex Expargaro dan Maverick Vinales. Penggunaan warna asas hitam mati atau Matte Black serta penggunaan grafik jingga dan ungu yang digunakan oleh pasukan. Sempena Pusingan Kejohanan MotoGP di Sepang baru-baru ini, Aprilia Malaysia mengambil kesempatan untuk memperkenalkan versi SRGT Replika ini dengan dilancarkan oleh kedua-dua pelumba hebat tersebut.
Berkapasiti 174cc, sejukkan cecair, enjin silinder tunggal dengan Sistem Suntikan Bahan Api Elektrik, SRGT ini dikatakan mempunyai kuasa sebanyak 17.4hp pada kadar rpm 8,500 dan 16.5 Nm pada kadar Tork RPM 7,000.
Sistem breknya adalah sama seperti model-model SRGT yang biasa (ABS) dan penggunaan tayar 14 inci di hadapan dan 13 inci untuk roda belakang.

PENILAIAN DARI RUPA FIZIKAL
Disebabkan tiada perubahan pada faktor enjin mahupun dari segi penyediaan sistem suspensi, oleh itu rebiu kali ini lebih menjurus kepada apa ‘perubahan kosmetik’ yang ada pada model REPLIKA ini berbanding varian biasa.
Secara kasarnya, perubahannya hanyalah dari segi ‘kosmetik’, malah lebih tepat lagi, hanya berubah dari skim warna sahaja. Penggunaan skim warna yang sama dengan skim warna jentera lumba pasukan MotoGP APRILIA dilihat sebagai mampu menarik minat bakal pembeli.
Tidak dinafikan, skuter Aprilia SRGT yang standard, sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri hanya kerana kaitannya dengan jenama tersebut. Namun, agak malang sekali apabila versi Replika ini tidak didatangkan dengan sistem kunci keyless. Tiada juga perubahan jenama pada suspensi hadapan atau belakang, sebagai contoh jenama dari Ohlins. Akan tetapi, umum mengetahui, selalunya peningkatan penggunaan aksesori seumpama itu bakal menaikkan harga jualannya kepada tahap yang mungkin agak tinggi.
Berbanding model biasa SRGT, tayar yang digunakan pada model Replika ini ternyata mempunyai bunga tayar untuk jalan raya, berbanding bunga tayar model biasa SRGT yang seakan-akan tayar motosikal lasak.
SRGT ini turut mempunyai opsyen aksesori iaitu kotak penyimpanan barangan yang juga turut diperhias dengan skim warna pasukan lumba MotoGP Aprilia dengan penambahan RM900 untuk kotak berkenaan.

KESIMPULAN
Walau tiada perubahan ketara pada model Replika ini, namun yang menariknya, harga jualan skuter SRGT ini sama dengan harga jualan SRGT biasa iaitu RM20,900, tanpa caj cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Persoalannya, adakah ini cukup untuk memberi tarikan kepada para peminatnya? Sekiranya kehendak pasaran tempatan dijadikan ukuran, sememangnya motosikal jenis skuter adalah satu varian yang sangat popular dan telah terjual dengan bilangan unit yang sangat tinggi sejak akhir-akhir ini. Lebih menakjubkan lagi, harga jualan tidak lagi menjadi persoalan utama dengan pasaran skuter tempatan sekarang. Gaya, mutu dan juga keunggulan yang sering dilaung-laungkan itu, ternyata benar apabila semakin banyak peminat Aprilia muncul dengan jentera-jentera jenama ini di pasaran.
Sekiranya faktor status dan gaya dijadikan kayu ukur, tidak hairanlah skuter Aprilia SRGT REPLICA yang sedang dipamerkan di MOTOPLEX PETALING JAYA telah pun didaftarkan atau pun telah dijual. Sehinggakan tidak sempat untuk didaftarkan sebagai kenderaan panduji. Ternyata peminat masakini sanggup berhabis untuk keupayaan memiliki jentera dan jenama hebat dari Itali ini. – UTUSAN










