KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank telah memberi kemudahan pembiayaan sebanyak RM512 juta kepada pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) bagi pembangunan projek hartanah mampan di Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.
Pembiayaan itu bagi pembangunan 1,382.2 ekar bank tanah perumahan utama di MVV 2.0 kawasan yang terletak di antara Selangor dan Negeri Sembilan.
Pembangunan itu merupakan usaha sama antara syarikat N9 Matrix Development Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Matrix Concepts dengan NS Corporation (NS Corp.), dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM7 Bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pembiayaan dan perkongsian itu menandakan kejayaan penting Kumpulan bagi masa depan yang lebih baik.
Katanya, AmBank sedar tanggungjawab mereka sebagai warga korporat dalam menyumbang ke arah pertumbuhan holistik dan pembangunan mampan masyarakat.
“AmBank mengiktiraf keperluan untuk pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk memperkasakan perniagaan dalam usaha ke arah pembangunan yang mampan.
“Pembangunan yang meluas ini bukan sahaja pelaburan dalam hartanah tetapi pelaburan dalam masa depan yang inklusif dan mampan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis menandatangani dokumen antara AmBank dan Matrix Concepts bagi projek MVV 2.0 di sini hari ini.
Majlis menandatangani dokumen itu diwakili oleh Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock dan Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan Ambank, Christopher Yap.
Pada Ogos tahun lalu, Matrix Concepts telah membeli tanah seluas 1,382 ekar di kawasan MVV 2.0 iaitu di Labu, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Christopher berkata, pihaknya menyokong Kumpulan Matrix Concepts dalam usaha mereka memacu pembangunan mampan di negara ini.
“Pembangunan Matrix Concepts yang berada dalam Koridor MVV 2.0 adalah bukti potensi Malaysia untuk pembangunan mampan dan AmBank berbangga untuk menyumbang inisiatif ini.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin pula berkata, dengan penyempurnaan kemudahan pembiayaan daripada AmBank, Matrix Concepts kini berada dalam kedudukan yang baik untuk menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah mewujudkan perbandaran yang bertenaga, selamat dan dipacu masyarakat.
Beliau berkata, di samping itu ia dapat memenuhi aspirasi Matrix Concepts sebagai pembekal rumah berkualiti pada harga yang menarik.
“Usaha ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan penting untuk Matrix Concepts, mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemaju perbandaran terkemuka di samping memperkasakan dalam memajukan landskap sosio-ekonomi komuniti yang didedikasikan.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan AmBank atas sokongan tidak berbelah bahagi dan komitmen bersama mereka terhadap misi berterusan kami untuk meningkatkan amalan ESG yang telah menjadi komponen utama strategi kumpulan,” katanya.
Tian Hock pula berkata, kira-kira 80 peratus pembiayaan daripada AmBank itu akan digunakan bagi pembelian tanah, manakala baki akan digunakan bagi tujuan pembangunan dan simpanan.
“Projek hartanah Matrix Concepts itu dijangka akan bermula tahun depan dan akan berjalan untuk tempoh 10 tahun akan datang. Selain itu, projek hartanah di MVV 2.0 itu dijangka akan menyumbang sekitar 60 hingga 70 peratus kepada pendapatan kumpulan bermula pada 2028,” katanya.
MVV 2.0 akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang dan disasarkan menjadi metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing serta inklusif dengan penekanan yang kuat terhadap penggunaan teknologi bersih. – UTUSAN










