KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka melaksanakan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 yang boleh diakses oleh ahli ketika berdepan kecemasan, pada April tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perincian mengenai akaun tersebut akan diumumkan selepas pengumuman dividen KWSP dijangka pada Februari 2024.
Beliau sehubungan itu mengalu-alukan organisasi berkaitan untuk memberikan pandangan mereka yang boleh disampaikan terus kepada Kementerian Kewangan atau KWSP.
Katanya, sebanyak RM145 bilion simpanan ahli KWSP dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran semasa Covid-19.
“Selepas itu, rakyat terus menyatakan mereka perlu mengeluarkan lagi tetapi kerajaan Madani membuat keputusan untuk tidak membenarkan walaupun ada desakan daripada pelbagai pihak.
“Sebab itu, kita buat formula baharu iaitu Akaun 3. Kita akan melaksanakan tetapi ada kaedah tertentu supaya tidak menjejaskan pendapatan. Apa maksud kecemasan akan diperincikan kemudian,” katanya ketika ditemui pada Seminar dan Mesyuarat Lembaga Persatuan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) Ke-40 di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Terdahulu, Ahmad berkata, semasa pandemik Covid-19, negara menghadapi antara tempoh paling sukar dalam sejarah Malaysia dengan lebih 36,000 kematian akibat penyakit itu dan banyak lagi yang terjejas.
“Disebabkan oleh beberapa sekatan, kesan sosioekonomi wabak itu adalah teruk dan ramai yang meminta bantuan kerajaan.
“Salah satu pengajaran utama pandemik itu ialah kerajaan perlu membina sistem perlindungan sosial yang mantap untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, agar rakyat Malaysia mampu menangani kejutan ekonomi seterusnya tanpa perlu menaikkan bendera putih,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Badri berkata, negara ASEAN berdepan isu kritikal melibatkan kerentanan pekerja tidak formal, dengan peratusan mereka lebih tinggi berbanding purata global.
Beliau berkata, kira-kira 244 juta pekerja di rantau ini memperoleh pendapatan daripada sektor pekerjaan tidak formal, mewakili hampir 79 peratus daripada populasi bekerja.
Katanya, peratusan tersebut melebihi purata global sebanyak 61 peratus dan Asia Pasifik sebanyak 68 peratus.
“Kekurangan akses kepada keselamatan sosial dan faedah pekerjaan yang kebiasaannya tersedia untuk pekerja di sektor pekerjaan formal menjadikan golongan ini tanpa jaringan keselamatan yang penting.
“Kesukaran yang dihadapi golongan ini memperlihatkan keperluan segera untuk perlindungan sosial komprehensif, yang mampu merapatkan jurang dan mempromosikan kesaksamaan ekonomi serta sosial,” katanya. – UTUSAN









