Agrobank lancar Kempen Mega Million

Agrobank lancar Kempen Mega Million

Zulhisham Zailan (lima, kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi (enam, kiri) bergambar bersama pemenang Kempen Deposit Bonanza pada majlis pelancaran Kempen Mega Million Agrobank di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agrobank me­nyasarkan untuk mencapai pertumbuhan deposit berjumlah lebih RM200 juta menerusi Kempen Mega Million pada tahun ini.

Ketua Pengguna Perbankan Agrobank, Zulhisham Zailan berkata, ia selepas penyertaan amat memberangsangkan melalui Kempen Deposit Bonanza pada tahun lalu sehingga mencecah hampir RM200 juta deposit.

“Kempen tersebut mendapat sambutan yang menarik dan kita sediakan hadiah bagi cabutan bulanan kepada pengguna Agrobank.

“Tahun ini, kita yakin untuk mencapai lebih RM200 juta sasaran deposit bagi Kempen Mega Million,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Mega Million di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.

Dalam pada itu, Agrobank menawarkan hadiah menarik berupa kereta dan wang tunai lebih RM2 juta dengan hadiah utama iaitu kereta mewah Tesla Model Y menerusi kempen berkenaan.

Kempen tersebut bertujuan meraikan dan menghargai pe­langgan sedia ada mahupun pelanggan baharu Bank yang berlangsung sehingga 30 September tahun depan.

Jelas Zulhisham, pihaknya amat teruja dengan pelancaran yang merupakan kempen pertama Agrobank dengan menawarkan 12 unit kereta secara ke­seluruhan untuk 12 bulan akan datang.

“Sebuah kereta boleh dimenangi setiap bulan oleh pelanggan yang layak dan memenuhi semua kriteria.

“Kempen ini dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada bagi produk deposit, pembiayaan, penulisan wasiat dan takaful. Antara hadiah yang ditawarkan ialah wang tunai, sebuah kereta model kereta elektrik (EV), BYD Dolphin, Proton X50 dan sebuah Perodua Myvi,” katanya.

Tambah Zulhisham, kempen Mega Milllon yang dilancarkan mempunyai dua kategori iaitu individu dan bukan individu yang bermula pada 1 Oktober dan akan diteruskan sehingga 30 September 2024.

Katanya, kriteria menyertai kempen ini adalah pelanggan perlu mempunyai deposit minimum sebanyak RM500 (individu) dan RM5,000 (bukan individu) atau minimum baki purata baki bulanan RM5,000 (bukan individu) dalam akaun Agro-Perdana i-PLUS.

Tambahnya, pemenang kempen akan dipilih secara rawak melalui cabutan bertuah dan akan dihubungi oleh pihak bank, selain diumumkan di laman sesawang bank.

Selain itu, pemilihan hadiah kereta elektrik seperti Tesla, BYD sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi negara rendah karbon.

“Agrobank proaktif menjadi organisasi yang mementingkan nilai kelestarian dan kami juga memainkan peranan dalam mempromosikan kemampanan agar selari dengan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN