KERAJAAN akan mendukung dasar fiskal yang kukuh bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi secara mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerangka ini antara lain, memberikan tumpuan kepada pencapaian daya tahan dan kemampanan fiskal dengan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus dalam tahun mendatang.
“Aspirasi ini juga bertujuan untuk mentransformasikan ekonomi negara bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dalam tempoh 10 tahun.
“Penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) akan menggerakkan usaha seluruh jentera kerajaan secara kolektif untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang disegani dan terkemuka di Asia,” katanya dalam prakata Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024.
Menurut beliau, pada 2024, tinjauan fiskal akan mengutamakan langkah kitaran balas dalam mendepani cabaran luaran dan menyokong inisiatif bagi menentukan hala tuju baharu ekonomi.
Ujarnya, dalam mengharungi cabaran dan peluang ini, kerajaan terus komited untuk mencapai defisit fiskal yang lebih rendah iaitu 4.3 peratus melalui konsolidasi fiskal.
“Kita juga berazam untuk mendukung prinsip amalan kewangan awam yang bertanggungjawab dan pragmatik dalam memperkukuh semula penampan fiskal serta mengurangkan pendedahan kepada hutang dan liabiliti selain pada masa yang sama berusaha mencapai pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi.
“Kerajaan akan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal yang tegas untuk mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil, di samping mengurangkan pembaziran dan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan.
“Dalam hal ini, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang akan berkuat kuasa dapat menggiatkan usaha untuk memperkukuh tata kelola, akauntabiliti serta ketelusan dalam pengurusan kewangan awam,” ujarnya.
Tambah Anwar, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, keperluan mewujudkan strategi kewangan yang teguh dan pengurusan fiskal yang berhemat tidak boleh dipandang remeh.
“Ekonomi Malaysia telah menunjukkan keteguhan dan daya tahan yang membanggakan dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus pada 2022.
“Momentum pertumbuhan ini berterusan pada 2023 walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 4.2 peratus pada separuh pertama 2023 disebabkan olen kelembapan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global.
“Selain itu, perbelanjaan domestik terus memacu momentum pertumbuhan dengan sokongan asas ekonomi yang kukuh,” ujarnya. – UTUSAN










