Terima tawaran LTAT – Kenanga

Terima tawaran LTAT – Kenanga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian pembelian Boustead Plantations Bhd. (BPlant) pada harga tawaran kekal RM1.55 sesaham dinilai pada premium dalam konteks sektor perladangan, menurut firma penyelidikan Kenanga Research.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk membeli BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham.

Menurut kenyataan LTAT, ia berikutan Perjanjian Kerjasama Strategik (SCA) yang ditandatangani pada 24 Ogos 2023 telah ditamatkan secara bersama oleh Boustead Holdings Berhad (BHB) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berkuat kuasa kelmarin

Kenanga Research berkata, harga tawaran itu masih menarik, kerana ia menilai BPlant pada 82 kali nisbah harga-pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 1.3 kali pada nisbah harga-ke-buku.

“Pada RM1.55 sesaham, BPlant dinilai pada 1.3 kali ganda aset ketara harga kepada bersih (yang merupakan premium kepada nilai harga buku sektor), atau lebih berkemungkinan RM56,000 sehektar tanaman yang berada dalam penilaian sektor, memandangkan saiz, kualiti dan prospek BPlant, ke­rana kira-kira separuh daripada ladangnya sedang menunggu penanaman semula,” katanya dalam nota kajian.

Kenanga mengekalkan syor­nya agar pemegang saham menerima tawaran pada harga RM1.55 sesaham, kerana ia akan membolehkan mereka keluar pada penilaian yang lebih baik daripada pasaran ekuiti yang sedia ditawarkan.

“Banyak kumpulan perlada­ngan yang lebih kecil biasanya berdagang pada harga diskaun malah kepada aset ketara bersih mereka,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Islamic Bank (HLIB) Research sedikit positif pada keputusan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) tidak meneruskan pengambilalihan 33 peratus kepentingan BPlant, berikutan penamatan perjanjian itu tidak mempunyai kesan material ke atas kumpulan itu.

Firma itu berkata, pihaknya agak positif terhadap perkembangan tersebut, memandang­kan tidak menjangka cadangan pengambilalihan pegangan BPlant oleh KLK sebagai peningkatan pendapatan, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

Ujarnya, ia memandang­kan pendapatan lebih rendah dan perbelanjaan faedah BPlant daripada pemerolehan yang dicadangkan.

“Selain itu, kami ambil perhatian bahawa kira-kira 45 peratus daripada kawasan tanaman BPlant berumur 20 tahun ke atas yang akan ditanam semula dalam tempoh terdekat hingga sederhana,” ujarnya.

MIDF Research pula mencadangkan, dengan harga mi­nyak sawit mentah tahun ini pada RM3,862 setan metrik, ditambah dengan nilai perusahaan purata sektor (EV) yang menarik sebanyak RM39,163 sehektar tanaman, rancangan penggabungan dan pengambilalihan oleh KLK masih tidak dapat dipastikan.

Di sebalik perjanjian BPlant, ia menyenaraikan Sarawak Oil Palms Bhd., Ta Ann Holdings Bhd., TSH Resources Bhd. dan United Malacca Bhd. sebagai calon penswastaan terkenal untuk KLK pada masa hadapan, kerana mereka berdagang di bawah purata sektor EV sehektar.

“Kemampuan bukan isu besar, memandangkan kunci kira-kira KLK kekal stabil, dengan tunai RM2.78 bilion dan 40.6 peratus penggearan bersih” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN