TANJUNG MALIM: Dalam menyediakan kemudahan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV), Kementerian Kerja Raya telah meluluskan empat tapak di Lebuhraya Utara-Selatan sebagai lokasi stesen pengecas pantas EV modular mudah alih bagi tahun ini.
Empat lokasi itu ialah Hentian Sebelah Behrang (Arah Utara), Perak yang mula beroperasi semalam, manakala selebihnya akan berada di Hentian Sebelah Behrang (Arah Selatan) dan Hentian Sebelah Senawang (Arah Utara dan Selatan), Negeri Sembilan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu membolehkan pengguna EV mengecas kenderaan di lokasi strategik ketika melalui lebuh raya tersebut.
“Saya yakin dengan usahasama semua pihak, pelancaran stesen pengecas pantas EV elektrik modular mudah alih ini akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan ekosistem kenderaan elektrik yang lebih meluas di negara kita.
“Pengguna EV akan dapat menikmati suasana perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” katanya dalam majlis pelancaran stesen pengecas itu di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara di sini, semalam.
Pembangunan stesen itu merupakan kerjasama antara Plus Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali lebuh raya tersebut dengan syarikat teknologi, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. (Gentari) bersama EV Connection Sdn. Bhd. (EVC).
Antara keunikan stesen pengecas pantas EV modular mudah alih itu adalah pemasangan mudah alih selain boleh dikuasakan oleh tenaga solar serta disokong oleh sistem penyimpanan tenaga bateri.
Menurut Alexander, pada 2024 sebanyak tiga tapak tambahan pengecas pantas modular akan dibangunkan iaitu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil (Arah Utara dan Arah Selatan) dan Perasing, terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu.
Sementara itu, menurut Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif, pihaknya meletakkan sasaran untuk menyediakan 100 stesen pengecas pantas arus terus (DCFC) di rangkaian lebuh raya PLUS menjelang 2025.
“Ketika ini, kami menyediakan 22 stesen DCFC di sepanjang lebuh raya PLUS. Jumlah tersebut menyumbang kepada kira-kira 17 peratus daripada jumlah infrastruktur DCFC yang terdapat di Malaysia. Kami merancang untuk mencapai 40 stesen DCFC menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar pula berkata, sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menyokong dan menyumbang kepada agenda kelestarian negara.
“Kami berganding bahu bersama-sama Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pemain industri utama untuk menyokong pelan hala tuju pembangunan infrastruktur stesen pengecas EV.
“Kami menyasarkan penyediaan 100 stesen pengecas EV DCFC di seluruh rangkaian Lebuhraya PLUS menjelang tahun 2025 untuk membentuk ekosistem yang kondusif bagi rakyat beralih kepada penggunaan EV.
“Kerjasama PLUS dengan Gentari adalah salah satu pelan strategik kami untuk meningkatkan penyediaan kemudahan pengecasan EV, mempercepatkan pelaksanaan pelan serta rancangan dalam menyokong Malaysia bergerak ke arah negara berkarbon neutral menjelang tahun 2050.” – UTUSAN










