PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan mata wang tempatan menerima sedikit sokongan.
Ia selepas indeks dolar AS merosot kepada 106.773 mata, dengan jangkaan pengeluaran data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) sehari kemudian, lapor Bernama.
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7220/7300 berbanding dolar AS, daripada penutup semalam pada 4.7285/7320.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman data NFP AS.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia turun berbanding yen kepada 3.1787/1843 daripada penutup semalam pada 3.1703/1729, susut berbanding euro kepada 4.9680/9764 daripada 4.9645/9681, dan susut berbanding pound British kepada 5.7373/7374 daripada 5.7343/7385.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN lain.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.6 daripada 302.4/302.8, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.8138/8393 daripada 12.7549/7685.
Ia juga susut berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.35 daripada penutup 8.31/8.32, dan tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.4462/4523. – UTUSAN










