Puteri sasar jualan RM80 juta

Puteri sasar jualan RM80 juta

WARDANI Hilmi bersama produk jenama Puteri yang terus mendapat permintaan dengan terdapat lebih 40 rangkaian produk di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: APS-MANJA Sdn. Bhd., produk bahan makanan di bawah jenama Puteri, sasar jualan RM80 juta tahun ini berbanding kira-kira RM60 juta yang diraih pada tahun lalu.

Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Wardani Hilmi berkata, peningkatan sasaran jualan itu didorong oleh tawaran produknya yang semakin meluas.

“Produk Puteri ini bermula dengan sos cili dan pes cili tetapi sekarang kami mempunyai lebih 40 rangkaian produk yang ditawarkan kepada pengguna.

“Untuk tahun ini, kami mempunyai tujuh produk baharu, iaitu tepung goreng (pedas atau asli), sambal garing ikan bilis dan udang, kepingan cili dan produk akan datang ialah mayonis dan sardin.

“Sambutan jualan untuk produk-produk kami setakat ini positif di mana kami telah mencapai pendapatan lebih RM60 juta pada tahun lalu.

“Antara faktor yang menyokong pertumbuhan positif itu adalah sijil halal yang dimiliki. Sijil halal merupakan satu sijil yang wajib ada untuk menyertai pasaran yang lebih luas di dalam atau luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wardani berkata, dengan adanya sijil halal, kumpulan memberi fokus kepada pasaran eksport memandangkan peringkat tempatan telah berjaya diliputi.

Ujarnya, kumpulan menyasarkan untuk luaskan eksport di dalam dalam asia dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

Kini, mereka sedang memasuki pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Tidak dinafikan, kami mempunyai cabaran dalam memasarkan produk baharu kami. Produk baharu kami seperti tepung goreng mempunyai pesaing tersendiri.

“Setakat ini cabaran kami adalah untuk bersaing dengan pesaing-pesaing di mana kami perlu melakukan lebih banyak pemasaran.

“Jadi kami berusaha dalam talian dan luar talian dengan mengadakan pertunjukan jalanan dan persampelan supaya orang ramai dapat kenal produk baharu itu,” katanya.

Bercakap mengenai kenaikan kos barang mentah, pihaknya akan cuba untuk menanggung sedikit kenaikan harga barang mentah itu namun kenaikan harga itu memang tidak dapat dielakkan.

“Kami mempunyai pengedar yang turut menaikkan harga barang jadi kami juga perlu menaikkan harga produk jualan kami.

“Buat masa ini, kami belum naikkan harga barangan lagi jadi margin keuntungan kami agak rendah. Harga jualan produk kami masih sama sejak tahun lepas.

“Namun pada tahun ini, kami mungkin akan menaikkan harga sebanyak 15 atau 20 peratus memandangkan harga bahan mentah semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×