Program pencampuran biodiesel bantu kurang pelepasan karbon

Program pencampuran biodiesel bantu kurangkan pelepasan karbon

FADILLAH Yusof (kiri) mendengar penerangan daripada wakil Petronas pada Majlis Pelancaran B100 dan Persidangan ke 4 Palm Biodiesel di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program pencampuran biodiesel nasional oleh kerajaan bakal memberikan impak positif kepada alam sekitar sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu diharap membantu merealisasikan ikrar Malaysia pada Persidangan Iklim 2015 (COP 21) sekali gus mencapai hasrat pelepasan karbon.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kajian saintifik membuktikan biodiesel berasaskan sawit mampu mengurangkan gas rumah hijau dan meningkatkan kualiti udara.

“Ia juga membantu mengurangkan kebergantungan kita terhadap tenaga fosil dan memanfaatkan bahan alternatif yang mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Biodiesel Sawit ke-4 di sini, hari ini.

Katanya, kementerian menganggap industri biodiesel sawit adalah sebahagian komponen yang penting dalam industri minyak kelapa sawit malah, mampu merangsang permintaan tempatan untuk minyak sawit mentah (CPO).

Persidangan Biodiesel Sawit kali keempat yang bertemakan ‘Balancing Carbon Neutrality, Energy Security & Social Impact’ berlangsung selama dua hari bermula semalam yang menghimpunkan pemain industri sawit dari serata ASEAN, dan negara-negara lain.

Pada program sama, Fadillah turut menyempurnakan pelancaran B100 (Biodiesel) oleh Petronas, iaitu sejenis bahan api berteraskan biodiesel sawit khusus bagi penggunaan trak, salah satu kerjasama strategik antara kementerian dan Petronas.

Menurutnya, pencapaian ini menunjukkan semangat dedikasi Petronas terhadap agenda biodiesel Malaysia dan menandakan status mereka sebagai syarikat tenaga pertama negara dalam menyediakan inisiatif seperti itu.

“Baru-baru ini kementerian dan Petronas turut mewujudkan pusat kutipan minyak masak terpakai (UCO) di beberapa stesen minyak terpilih malah, merancang memperluaskan inisiatif itu ke seluruh negara.

“Ini sekali lagi menandakan komitmen berterusan Petronas dalam menyumbang ke arah agenda biodiesel negara malah, kerajaan turut menggalakkan syarikat-syarikat multinasional lain untuk bergerak ke arah inisiatif itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN