Pekebun di Kampung Kemensah mohon JPNS beri kelonggaran 

Pekebun di Kampung Kemensah mohon JPNS beri kelonggaran 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Sebanyak 74 pekebun dan pengusaha di Kampung Kemensah terkesan dengan tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang menahan mereka daripada menjalankan pertanian dan perniagaan di kawasan tersebut.

Justeru, mereka memohon kelonggaran daripada JPNS untuk menjalankan pertanian di atas tanah yang telah diusahakan lebih 30 tahun.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kampung Kemensah, Mohd. Zaharuddin Ismail berkata, pekebun dan pengusaha kini resah susulan insiden dua pekerja ditahan dan direman selama tiga hari atas dakwaan menceroboh.

Menurutnya, tanah diusahakan itu sebelum ini adalah tanah rizab Melayu sebelum diubah status ke hutan simpan di bawah kawalan JPNS sejak 2010.

“Kami telah membuat permohonan sebanyak empat kali sejak 2014 ke JPNS selain ke Pejabat Tanah Daerah Gombak bagi membolehkan kami beroperasi secara sah.

“Ada sebahagian telah diberi geran, ada juga diberi lesen menduduki sementara (TOL) selain terdapat antara kami yang permohonan masih tiada jawapan. Kami terus memohon sehingga kini.

“Isu ini juga pernah kami suarakan kepada Menteri Besar untuk diselesaikan. Jika tak boleh keluar geran, dapat permit guna pakai pun tak apa asalkan ada hitam putih untuk kami menduduki tanah ini,” katanya kepada media.

Beliau ditemui pada sesi pertemuan antara pekebun dengan Penghulu Mukim Hulu Kelang, Rahmad Aydil Ali Akhbar berhubung isu tersebut.

Mohd. Zaharuddin menjelaskan, selain tanaman buah-buahan tempatan, terdapat juga pengusaha menjana ekonomi melalui aktiviti jualan kepada pendaki di sana.

Katanya, pekebun ketika ini dinasihati untuk tidak ke kebun buat sementara waktu susulan insiden berkenaan.

“Kami akan cuba cari jalan untuk memohon pertimbangan JPNS. Harapan saya isu ini dapat diselesaikan secara baik bagi membolehkan kami terus bercucuk tanam seperti biasa.

“Dulu kawasan ini hutan belantara, tiada yang mahu usahakan namun kini lokasi ini menjadi tumpuan termasuk kehadiran ribuan pengunjung untuk aktiviti pendakian yang turut menjana ekonomi penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Nur Shima Abdullah, 23, berkata, tanaman sayuran serta ubi kayu diusahakan mereka turut dimusnahkan kerana dakwaan menceroboh hutan simpan.

“Saya tidak faham apabila kami turut diambil tindakan oleh JPNS sedangkan kami bukan pendatang tetapi adalah pribumi.

“Kenapa kami dilayan seperti ini, takkan mahu suruh kami pindah masuk ke hutan lebih dalam lagi?

“Saya merupakan generasi ketiga yang nenek moyang telah duduki kawasan ini sejak zaman Jepun. Apabila tindakan penguatkuasaan diambil, kami jadi keliru. Kami harap JPNS dapat jelaskan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×